16hb Disember 2008
Saya ingin menyokong saranan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, Khalid Mohamad yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru yang mahukan supaya pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor dihidupkan semula setelah dibatalkan oleh Kerajaan pada tahun 2006.
Dengan berpindahnya fungsi Jabatan-jabatan Kastam, Imigresen dan Kuarantin dari Tambak Johor ke Bangunan Sultan Iskandar pada 2 Dis yang lepas, kemungkinan besar akan berlaku kesesakan jalanraya disekitar bandar Johor Bahru kerana Tambak Johor yang dibina pada 1923 tidak akan mampu menampung trafik yang melalui bangunan CIQ ini.
Olehitu, menyetujui akan cadangan tersebut, saya juga ingin merayu kepada Kerajaan Pusat untuk pertimbangkan permohonan Pemuda UMNO Johor itu yang saya percaya memang mencerminkan aspirasi rakyat Johor dan menarikbalik pembatalan pembinaan jambatan baru bagi mengganti Tambak Johor. Ini perlu dilakukan pada kadar yang segera supaya masalah kesesakan trafik di Johor Baru dapat ditangani sebelum ia menimbulkan masalah-masalah sampingan yang lain seperti merencatkan pertumbuhan ekonomi negeri dan negara. Seperti yang telah dihasratkan oleh Kerajaan sebelum keputusan pembatalan dibuat, pembinaan jambatan baru ini diperlukan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dalam masa ekonomi dunia semakin gawat, lebih lebih lagi bagi menepati matlamat penubuhan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Singapura-Malaysia. Selain itu, pembukaan perairan Selat Tebrau akan memulihkan pergerakan kapal-kapal kontena antara Selat Melaka dan Laut China Selatan dimana Pelabuhan Pasir Gudang dan Gelang Patah terletak. Ini juga akan memperkuatkan kedaulatan perairan negara yang mana bermacam-macam tuntutan dibuat oleh negara-negara jiran kebelakangan ini.
Ikhlas,
Mukhriz Mahathir.