Tuesday, December 16, 2008
Hidupkan semula pembinaan jambatan baru Johor-Singapura.
Saya ingin menyokong saranan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, Khalid Mohamad yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru yang mahukan supaya pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor dihidupkan semula setelah dibatalkan oleh Kerajaan pada tahun 2006.
Dengan berpindahnya fungsi Jabatan-jabatan Kastam, Imigresen dan Kuarantin dari Tambak Johor ke Bangunan Sultan Iskandar pada 2 Dis yang lepas, kemungkinan besar akan berlaku kesesakan jalanraya disekitar bandar Johor Bahru kerana Tambak Johor yang dibina pada 1923 tidak akan mampu menampung trafik yang melalui bangunan CIQ ini.
Olehitu, menyetujui akan cadangan tersebut, saya juga ingin merayu kepada Kerajaan Pusat untuk pertimbangkan permohonan Pemuda UMNO Johor itu yang saya percaya memang mencerminkan aspirasi rakyat Johor dan menarikbalik pembatalan pembinaan jambatan baru bagi mengganti Tambak Johor. Ini perlu dilakukan pada kadar yang segera supaya masalah kesesakan trafik di Johor Baru dapat ditangani sebelum ia menimbulkan masalah-masalah sampingan yang lain seperti merencatkan pertumbuhan ekonomi negeri dan negara. Seperti yang telah dihasratkan oleh Kerajaan sebelum keputusan pembatalan dibuat, pembinaan jambatan baru ini diperlukan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dalam masa ekonomi dunia semakin gawat, lebih lebih lagi bagi menepati matlamat penubuhan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Singapura-Malaysia. Selain itu, pembukaan perairan Selat Tebrau akan memulihkan pergerakan kapal-kapal kontena antara Selat Melaka dan Laut China Selatan dimana Pelabuhan Pasir Gudang dan Gelang Patah terletak. Ini juga akan memperkuatkan kedaulatan perairan negara yang mana bermacam-macam tuntutan dibuat oleh negara-negara jiran kebelakangan ini.
Ikhlas,
Mukhriz Mahathir.
Friday, November 7, 2008
Debat
Pemilihan UMNO adalah soal keluarga dimana kita tak seharusnya berbincang mengenainya untuk tontonan umum, lebih -lebih lagi untuk tatapan pembangkang. Perjuangan UMNO ialah sesuatu yang tersirat dan ianya tak perlu dibahas-bahaskan secara terbuka dan disensasikan.Kita menggunakan pemilihan ini untuk memperkukuhkan parti, dan perlu elak dari membuat sebarang perkara yang mampu melemahkan parti tatkala kita dalam keadaan yang agak tidak kuat berbanding dulu. Dengan pencalonan yang sedang dilaksanakan dan pengundian yang bakal dijalankan, terbukti perwakilan dah kenal calon-calon dengan rapat dan matang untuk buat pilihan.
Ikhlas,
Mukhriz Mahathir
Thursday, October 23, 2008
Palestin
Saya mengalu-alukan kenyataan kedua-dua pihak Hamas dan Fatah yang bersetuju dengan cadangan Mesir untuk menubuhkan Kerajaan Konsensus Kerajaan Palestin. Persepakatan ini jika menjadi realiti mampu memelihara kemerdekaan dan keselamatan rakyat Palestin, sekaligus mewujudkan benteng diplomatik yang mampu mempertahankan kedaulatan negara dari kezaliman rejim zionis Israel.
Ikhlas,
Mukhriz Mahathir
Tuesday, October 14, 2008
Pesanan Kesyukuran
Saya berasa sangat terharu dengan jumlah pencalonan yang telah diberikan sehingga melayakkan saya bertanding dalam jangkawaktu hanya tiga hari pertama Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dijalankan. Ini membuktikan bahawa Pemuda sudah berani dan ingin menuntut perubahan yang akan menyelamatkan parti kesayangan kita. Oleh itu, saya harap mesej yang telah Saudara-Saudara sampaikan melalui gelombang perubahan ini disahut baik dan difahami oleh semua pihak, termasuk pihak pembangkang, bahawa sayap penting dalam UMNO ini sudah bersedia untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap UMNO. Saya juga berharap Pemuda UMNO di bahagian-bahagian yang belum bersidang akan terus mencalonkan saya supaya momentum Perubahan, Pemulihan dan Pemerkasaan ini dapat disemarakkan lagi.
Saya berdoa suara akarumbi yang memberikan pencalonan kepada saya tempoh hari di Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian-bahagian dapat juga diterjemahkan sebagai undi untuk saya di bulan Mac 2009 kelak. Saya percaya perwakilan-perwakilan ke Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di PWTC nanti akan melaksanakan amanah mereka dengan penuh bertanggungjawab untuk benar-benar mewakili suara pemuda dan mengundi mengikut kehendak perwakilan akarumbi sewaktu Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian-bahagian mereka.
Selamat bersidang. Berani Berubah!
Mukhriz Mahathir
Tuesday, September 30, 2008
Friday, September 26, 2008
Tuntutan Akarumbi UMNO Agar Perhimpunan Agong UMNO Dikekalkan Dan Dijalankan Sebagaimana Dijadualkan Pada Disember 2008
Pak Lah wajib bertanggungjawab penuh memimpin UMNO ke
kancah kehancuran Pilihanraya Umum ke 12 yang menyaksikan tumbangnya lima
negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan ke tangan parti pembangkang. Kita juga
menyaksikan Barisan Nasional kehilangan 2/3 majoritinya di Parlimen selain
gagal sama sekali untuk meraih undi popular keseluruhan di serata Negara.
Keputusan Pilihanraya Umum yang mengaibkan ini adalah bukti jelas kegagalan Pak
Lah melunaskan tanggungjawab serta amanahnya kepada ahli-ahli UMNO dan Barisan
Nasional. Ini melucutkan semua legitimasi politik serta sebarang pengaruh moral yang masih ada untuk Pak Lah terus memimpin UMNO dan Barisan Nasional.
Tidak cukup dengan itu, keputusan untuk menangguhkan Perhimpunan Agong UMNO yang dijadualkan pada Disember tahun ini ke bulan Mac
Justeru, nyatalah bahawa Pak Lah sudah tidak layak menjadi pemimpin yang dijulang. Malah dengan itu juga, kita sudah tidak lagi tertakluk kepada arahan-arahannya yang berunsurkan kepentingan peribadi. Pak Lah juga tidak
Percayalah, selagi kita tetap setia dan luhur kepada idealisma,
Kita sebagai pembela UMNO yang sebenar, mestilah
Justeru, kita menolak sekeras-kerasnya keputusan untuk menangguhkan Perhimpunan Agong UMNO ke bulan Mac 2009. Keputusan yang cetek ini
Maka dengan ini, kita mendesak, demi kepentingan parti dan mengiktirafi kehendak pejuang-pejuang UMNO yang tidak diendah ini, agar Perhimpunan Agong UMNO tetap dijalankan sebagaimana dijadualkan pada bulan Disember 2008!
Hidup UMNO!
Berani Berubah!
Mukhriz Mahathir
A Demand by UMNO Grassroots Members to Retain the Annual General Assembly as Previously Scheduled for December 2008
Pak Lah is responsible for leading us into the disastrous 12th general elections which resulted in the lost of five states and the Federal Territory to the opposition coalition. Barisan Nasional lost its longstanding two-thirds majority and the overall popular vote nationally. The poor electoral outcome shows how he has failed miserably in discharging his duties and responsibility to UMNO members and the Barisan Nasional. Since then, Pak Lah has lost any political legitimacy and the moral authority to lead UMNO and Barisan Nasional.
Furthermore, the postponement of the UMNO General Assembly demonstrates the fact that Pak Lah only seeks to preserve his political power but without wanting or being able to live up to the responsibilities and sacred duties that come with it. As such, he has long ceased to be our rightful leader and we therefore need not follow his self-preserving "instructions". Pak Lah cannot tell us what to do or what not to do in exercising our rights as party members in the UMNO that truly belongs to the ordinary members and the Rakyat. So in this UMNO elections, for as long as we remain true to our party that was built by our founding fathers and adhere to the ideals, constitution and rules of UMNO-we are morally upright and cannot be accused of any wrongdoing in exercising our constitutional rights in choosing our leaders in a just and timely fashion in December of 2008.
We, the true defenders of UMNO must exercise our prerogative and constitutional right to elect whomever we so desire or see fit to the top posts of our party. Nothing in God's earth can stop us from performing our sacred responsibility and duty for the sake of the survival of our party, the future of our children and the integrity of our proud nation. We vehemently reject the ill-advised decision to postpone the Annual General Assembly to March 2009. This decision is a blatant attempt to deny the grassroots members of UMNO their voice and aspirations to be heard and reflected in the ballot box solely in order to preserve those in control of our beloved party.
We therefore demand that in the best interest of the party and in recognition of the wishes of UMNO's brave but ignored grassroots members- the said Annual General Assembly be held as scheduled for December 2008!
Hidup UMNO!
Berani Berubah!
Mukhriz Mahathir
Wednesday, September 24, 2008
Kenapa Kita Mesti Berani Berubah?
2. Apabila saya mengumumkan penawaran diri saya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya telah menggunakan slogan "Berani Berubah!" untuk menyemarakkan semangat pejuang di dalam diri Pemuda yang mahukan perubahan dalam ertikata yang sebenar. Saya mahu mencetus dan melahirkan sebuah generasi kepimpinan di dalam Pergerakan Pemuda UMNO yang peka dan responsif terhadap keperluan akarumbi. Saya amat berharap dapat melahirkan satu lapisan pemuda yang dinamik serta berdaya maju. Saya akui kenyataan-kenyataan saya sebelum ini adalah antara yang paling lantang apabila berlakunya perkara-perkara yang merugikan parti, atau apabila keputusan-keputusan pucuk kepimpinan tidak menepati citarasa dan aspirasi rakyat. Contohnya apabila Kerajaan membatalkan pembinaan jambatan antara Johor Bharu dan Singapura, juga terhadap ucapan dasar Presiden parti pada tahun 2006 tidak mengandungi intipati baru untuk kita jadikan panduan, serta terhadap keputusan PRU12 yang secara jelas mencerminkan rasa tidak puashati rakyat terhadap YAB Perdana Menteri, saya akan berkata-kata dengan benar demi kelangsungan UMNO dan rakyat Malaysia. Namun, setiap kali saya membuat kenyataan sedemikian, saya dianggap sengaja mencetuskan kontroversi. Ada pihak-pihak tertentu yang akan mendesak agar saya dikenakan tindakan disiplin, atau digantung keahlian, malah ada juga yang menggesa supaya saya dipecat dari parti.
3. Tetapi akhirnya, Alhamdulillah, tiada juga sebarang tindakan yang diambil ke atas saya walaupun saya terus bersuara lantang mengkritik pucuk kepimpinan dan keputusan mereka. Ugutan-ugutan bahawa tindakan akan diambil terhadap saya tidak langsung menakutkan saya daripada mengubah prinsip dan meneruskan pendekatan yang saya ambil selama ini. Kenapa?
4. Pada hemat saya, umum mengetahui bahawa apa yang saya perkatakan dan nyatakan tidak langsung melanggari Perlembagaan, peraturan dan/atau tataetika parti. Malah kita sedar bahawa lebih baik jika ada "check and balance" yang mengimbangi pelbagai kepentingan dalam parti bagi menguatkannya. Jika ada isu-isu semasa yang penting, lebih baik perbahasan berlaku di dalam parti daripada menjadi bahan yang digunakan oleh pembangkang mahupun rakyat untuk menghentam Kerajaan BN. Jika kita ikhlas mengkritik untuk kebaikan, saya percaya pembangkang akan kehilangan modal untuk menarik perhatian dan tidak lagi mampu untuk meraih simpati rakyat.
5. Sesungguhnya kepimpinan parti perlu sentiasa mendapatkan pandangan dari banyak pihak sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat. Malangnya seringkali kita lihat keputusan-keputusan dibuat seolah-olah tanpa mengambil kira pandangan-pandangan yang mampu membantu mereka membuat pertimbangan yang saksama dan matang. Contohnya begitu banyak laporan-laporan telah diserahkan kepada pucuk kepimpinan sebelum PRU 12 mengenai peluang kemenangan BN pada pilihanraya tersebut. Rata-rata laporan-laporan tersebut meramalkan situasi yang genting bagi BN, di mana kemungkinan besar lima negeri akan jatuh ke tangan pembangkang. Salah satu agensi Kerajaan telah melaporkan bahawa BN hanya akan dapat mempertahankan 138 kerusi di Parlimen. Kebetulan dengan keluarnya SAPP dari BN tempohari, laporan-laporan ini nampaknya kini menjadi kenyataan. Soalnya, kenapa laporan-laporan yang dikeluarkan oleh badan-badan yang bertauliah ini tidak diendahkan, dan sebaliknya laporan-laporan lain yang entah dari mana datangnya digunapakai sebagai sandaran? Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Inilah yang kita lihat terpampang di depan mata kita pada hari ini; UMNO tidak lagi dihormati, BN kehilangan kuasa mutlak, rakyat mempersoalkan integriti pemimpin dan pihak pembangkang meneguk di air keruh.
6. Sudah menjadi kelaziman kita berkeyakinan penuh dan tanpa soal menerima bahawa keputusan-keputusan penting yang dibuat oleh kepimpinan kita adalah berdasarkan kepada matlumat yang sahih, dan strategi yang berkesan. Tetapi dengan timbulnya pelbagai isu yang berkait rapat dengan kepincangan keputusan Kerajaan sekarang, rakyat sudah merasa gusar dan keyakinan mereka terhadap Kerajaan semakin terhakis. Bagaimana dapat kita mengatasi masalah ini? Sudah tentu caranya ialah dengan meletak pemimpin yang dipercayai dan berkebolehan di jawatan-jawatan tinggi parti dan Kerajaan. Di sinilah terletaknya peranan kita sebagai ahli UMNO di musim pemilihan ini.
7. Dalam keadaan UMNO dan BN menghadapi situasi politik yang seolah-olah telur dihujung tanduk, pemimpin tidak wajar hanya berusaha mengekalkan jawatan sendiri dengan mencadangkan agar jawatan-jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi. Walaupun perkara ini pernah diamalkan sebelum ini, keadaannya amat berbeza. Dulu pemilihan UMNO seringkali dijalankan sebelum PRU. Bagi memastikan UMNO dan BN kuat bagi menghadapi Pilihanraya Umum, maka jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan. Tetapi selepas PRU 12 keahlian UMNO, orang Melayu dan rakyat Malaysia menuntut perubahan. Jika UMNO dan BN tidak berubah sudah tentu perubahan yang dituntut mereka akan dipenuhi oleh pihak pembangkang. Itulah sebabnya UMNO mesti berani berubah. Sikap tidak peduli dan sambil lewa akan mengundang badai yang jauh lebih teruk dari tsunami politik yang telah melanda kita Mac lepas. Krisis kepimpinan yang UMNO hadapi pada hari ini tidak akan terbaiki dengan sendirinya. Kita sendiri mesti membetulkan di mana yang silap. Jika kita tidak berani untuk merubah, maka tiada perubahan akan berlaku. Kita mesti berani menolak sebarang usaha untuk menidakkan hak kita untuk memilih pemimpin. Kita mesti berani menguasai keadaan jika ada taktik-taktik untuk menyekat suara akarumbi di dalam Mesyuarat-mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dilakukan sesetengah pihak. Kita mesti berani mencalonkan tokoh-tokoh yang berwibawa, yang akan memberi kekuatan kepada parti. Kita mesti berani melawan sebarang usaha untuk mencemarkan proses demokrasi melalui rasuah politik yang menggunakan wang ringgit, ugutan mahupun imbuhan dalam berbagai bentuk. KITA MESTI BERANI BERUBAH!
8. Janganlah kita sekadar batuk ditepi tangga - merungut mengenai keadaan yang tidak menentu tapi tidak lakukan sesuatu untuk memperbaikinya. Sekiranya kita terus takut kepada perubahan, maka percayalah, ahli UMNO yang seramai 3.5 juta akan disingkirkan daripada arus perdana pemerintahan negara apabila rakyat memberi mandat yang lebih besar kepada pembangkang di Pilihanraya Umum ke 13 nanti. Sesungguhnya, Allah SWT telah berfirman bahawa Ia tidak akan mengubah nasib sesuatu masyarakat itu kecuali masyarakat itu berusaha mengubahkannya. Maka pemilihan inilah satu-satunya peluang yang tinggal bagi ahli-ahli UMNO membawa perubahan yang akan menyelamatkan parti. Saya harap Saudara bersama saya dalam perjuangan ini.
BERANI BERUBAH!
Mukhriz Mahathir
24.09.08