YB DATO’ MUKHRIZ MAHATHIR TIMBALAN MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI
MERASMIKAN MESYUARAT AGUNG PIBG SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SULTAN IBRAHIM (1) PASIR MAS
18 APRIL 2011 (ISNIN)
PASIR MAS, KELANTAN ASSALAMUALAIKUM W.T.B DAN SALAM 1MALAYSIA.
YANG BERHORMAT SENATOR DATO’ HAJI ABDUL RAHIM BIN HAJI ABDUL RAHMAN, YANG DIPERTUA PIBG SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SULTAN IBRAHIM (1) PASIR MAS;
YANG BERUSAHA PUAN MUHANIZAH BINTI MUSTAPHA, PENGETUA SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SULTAN IBRAHIM (1) PASIR MAS;
PARA PENDIDIK SMK SULTAN IBRAHIM (1) PASIR MAS;
PARA IBU BAPA;
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG SAYA HORMATI SEKALIAN.
1. ALHAMDULILLAH, SEGALA PUJI-PUJIAN DIPANJATKAN KE HADRAT ALLAH SWT ATAS SEGALA LIMPAH RAHMAT-NYA, KITA DIBERI KESEMPATAN UNTUK BERADA DI SINI DALAM SATU MAJLIS YANG CUKUP BESAR ERTINYA KEPADA KITA SEMUA.
2. SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD S.A.W, KAUM KELUARGA DAN SAHABAT-SAHABAT BAGINDA, SERTA PARA AMBIA’ DAN AULIA’ YANG DIKASIHI ALLAH. TIDAK LUPA KEPADA PEJUANG-PEJUANG BANGSA YANG TELAH BERKORBAN JIWA DAN RAGA, DEMI UNTUK MEWARISKAN KITA SEBUAH TANAH AIR TERCINTA YANG BERNAMA MALAYSIA YANG MERDEKA DAN BERDAULAT, KITA DOAKAN SEMOGA MEREKA SEMUA SENTIASA MENDAPAT PERLINDUNGAN DAN RAHMAT OLEH-NYA.
3. TERLEBIH DAHULU, IZINKAN SAYA MERAKAMKAN SETINGGI-TINGGI PENGHARGAAN DAN UCAPAN TERIMA KASIH YANG TIDAK TERHINGGA ATAS KESUDIAN PIBG SEKOLAH MENENGAH SULTAN IBRAHIM 1, TERUTAMANYA YANG DIPERTUA PIBG, YB SENATOR DATO’ HAJI ABDUL RAHIM BIN HAJI ABDUL RAHMAN, KERANA MENGUNDANG SAYA UNTUK BERSAMA-SAMA HADIR DALAM MAJLIS INI. SESUNGGUHNYA UNDANGAN INI ADALAH SATU PENGHORMATAN BESAR DAN SANGAT BERMAKNA KEPADA SAYA.
4. WALAUPUN KUNJUNGAN SAYA KE SEKOLAH INI ADALAH UNTUK PERTAMA KALI, NAMUN BUMI PASIR MAS SEBENARNYA TIDAK ASING KEPADA SAYA. RAMAI SAHABAT SAYA YANG BERJAYA DI KUALA LUMPUR ADALAH BERASAL DARI NEGERI TANAH SERENDAH SEKEBUN BUNGA INI DAN RAMAI ANTARANYA ADALAH WARGA PASIR MAS.
5. OLEH ITU, APABILA DIUNDANG OLEH DATO’ RAHIM, UNTUK SAYA HADIR BERSAMA-SAMA BERJUMPA MATA DENGAN ADIK KAKAK, TANPA PERLU BERFIKIR PANJANG SAYA TERUS BERSETUJU. MALAH SAYA MERASA SUDAH TIDAK SABAR-SABAR LAGI UNTUK LEBIH MENGENALI PARA PENDUDUK PASIR MAS. ALHAMDULILLAH PADA PAGI INI HASRAT SAYA INI DENGAN IZIN ALLAH MENJADI KENYATAAN.
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN,
6. ADALAH MENJADI HASRAT SEMUA UNTUK MENGEMBALIKAN REPUTASI GEMILANG SEKOLAH INI DALAM MELAHIRKAN WARGA NEGARA YANG CEMERLANG DAN BOLEH DISANDARKAN KEYAKINAN SEPENUHNYA UNTUK MEWARISI KEPIMPINAN NEGARA PADA MASA DEPAN. SEBAGAI SALAH SEBUAH SEKOLAH PREMIER DI KELANTAN DAN TERGOLONG DALAM KELOMPOK SEKOLAH ELIT, SMKSI (1) SEHARUSNYA SENTIASA DI DEPAN DALAM APA JUA BIDANG, SAMA ADA AKADEMIK, KO-KURIKULUM DAN JUGA KEPIMPINAN.
7. TETAPI KITA TIDAK BOLEH BERGANTUNG HARAP PADA SEJARAH SEMATA-MATA KERANA SEJARAH TIDAK BOLEH MENGUBAH KEADAAN MASA DEPAN. NAMUN SEJARAH KECEMERLANGAN SILAM BOLEH DIJADIKAN PANDUAN DALAM USAHA MEMBENTUK RAMUAN TERBAIK UNTUK MENERUSKAN KEGEMILANGAN SEKOLAH INI.
8. SAYA YAKIN DAN PERCAYA, BERBEKALKAN PENGALAMAN YANG LUAS SERTA DIBANTU OLEH GABUNGAN MANTAP PIHAK PENTADBIRAN, GURU-GURU DAN JUGA PIBG, SMSI (1) AKAN TERUS UNGGUL DI DEPAN. INSYA ALLAH.
PARA HADIRIN SEKALIAN,
9. SAYA INGIN BERKONGSI SATU KISAH MENGENAI LUQMAN HAKIM. LUQMAN HAKIM IALAH SEORANG YANG DIKENALI SEBAGAI INSAN YANG CERDIK DAN BIJAKSANA. NASIHAT DAN WASIAT LUQMAN KEPADA ANAKNYA TERKANDUNG DI DALAM AL-QURAN, IAITU AYAT 13 HINGGA 19 SURAH LUQMAN. 10. CERITANYA ADALAH BEGINI. SUATU HARI, LUQMAN HAKIM TELAH MEMASUKI SEBUAH PASAR DENGAN MENAIKI SEEKOR KELDAI, BERSAMA ANAKNYA YANG MENIGKUT DARI BELAKANG. MELIHAT TINGKAHLAKU LUQMAN ITU, SESETENGAH ORANG YANG BERADA DISITU BERKATA:
“LIHAT ORANG TUA YANG TIDAK BERTIMBANG RASA ITU. DIA SENANG-LENANG MENAIKI KELDAINYA, SEDANGKAN ANAKNYA PULA DIBIARKAN BERJALAN KAKI”.
11. SETELAH MENDENGAR KATA-KATA YANG KURANG SEDAP DARIPADA ORANG RAMAI, MAKA LUQMAN PUN TURUN DARIPADA KELDAINYA LALU DILETAKKAN ANAKNYA DI ATAS KELDAI DAN TERUS KEMBALI BERJALAN.
12. MELIHAT PERKARA DEMIKIAN, MAKA SESETENGAH ORANG LAIN DI PASAR ITU PULA BERKATA:
“SUNGGUH BIADAP BUDAK ITU. ORANG TUANYA DIBIARKAN BERJALAN KAKI SEDANGKAN ANAKNYA SEDAP MENAIKI KELDAI ITU”.
13. SEBAIK SAHAJA MENDENGAR KATA-KATA ITU, LUQMAN PUN TERUS NAIK KE ATAS BELAKANG KELDAI ITU BERSAMA-SAMA ANAKNYA. KEMUDIAN, SESETENGAH ORANG LAIN PULA BERKATA LAGI:
“LIHAT KEDUA-DUA ORANG ITU MENUNGGANG KELDAI, ALANGKAH SEKSANYA KELDAI ITU SEBAB TERPAKSA MEMBAWA BEBAN YANG BERAT”.
14. OLEH KERANA TIDAK SUKA MENDENGAR PERCAKAPAN ORANG, MAKA LUQMAN DAN ANAKNYA TURUN DARIPADA KELDAI DAN MENYAMBUNG PERJALANAN. NAMUN, LUQMAN TERDENGAR PULA SESETENGAH ORANG LAIN BERKATA:
“ADA KELDAI TETAPI TUANNYA BERJALAN KAKI. BODOH BETUL!”
15. KEDUA-DUA BERANAK ITU MENERUSKAN PERJALANAN PULANG. LALU LUQMAN MENASIHATI ANAKNYA TENTANG SIKAP MANUSIA DAN TELATAH MEREKA. KATA BELIAU:
“SESUNGGUHNYA SESEORANG ITU TIDAK AKAN TERLEPAS DARI PERCAKAPAN MANUSIA LAIN. MAKA ORANG YANG BERAKAL TIDAK AKAN AMBIL KISAH MELAINKAN KEPADA ALLAH S.W.T SAHAJA. BARANG SIAPA MENGENAL KEBENARAN, ITULAH YANG MENJADI PERTIMBANGANNYA DALAM TIAP-TIAP SESUATU PERKARA”.
HADIRIN YANG DIHORMATI SEKALIAN,
16. SAYA TERINGATKAN KISAH LUQMAN INI KERANA IANYA MENGINSAFKAN DIRI SAYA DENGAN SUASANA SEMASA. PENGAJARAN YANG PERTAMA DARI KISAH INI IALAH KITA TIDAK AKAN TERLEPAS DARI PERCAKAPAN MANUSIA LAIN APATAH LAGI SEKIRANYA KITA MENJADI ‘PUBLIC FIGURE’ ATAU PEMIMPIN. MAKA, KITA HARUS MENERIMA DENGAN SABAR SEBARANG TOHMAHAN ATAU KRITIKAN DAN TERUSKAN TINDAKAN KITA TERSENUT SEKIRANYA KITA YAKIN BAHAWA TINDAKAN KITA ITU BENAR.
17. KISAH INI JUGA MEMPUNYAI SATU LAGI IKTIBAR. SETIAP PERKARA YANG DILAKUKAN OLEH LUQMAN DAN ANAKNYA TELAH TETAP DIANGGAP TIDAK BETUL. ADA SESETENGAH PIHAK YANG MELIHAT SETIAP PERKARA YANG DILAKUKAN, SEMUANYA SEOLAH-OLAH TIADA YANG BAIK DAN TIADA YANG BETUL. MALAH, TABIAT SEMUANYA SALAH INI, TERBAWA-TERBAWA SEHINGGAKAN KALAU TIADA SALAH SEKALIPUN, AKAN DICARI-CARI KESALAHANNYA. IANYA IBARAT SUDAH MENJADI SATU HOBI SEPENUH MASA DAN AKAN MERASA TIDAK BERPUAS HATI SELAGI TIDAK DAPAT MENCARI KESALAHAN. MEREKA YANG SENTIASA MENCARI PERKARA YANG NEGATIF INI, SEBENARNYA ADALAH GOLONGAN YANG MEMPUNYAI MINDA YANG NEGATIF. PERSOALAN SAYA, ADAKAH MEREKA YANG MEMBERI KOMEN-KOMEN NEGATIF INI DAN SENTIASA MENCARI-CARI KESALAHAN ORANG LAIN, LAYAK UNTUK BERGELAR PEMIMPIN?
18. SEBAGAI PEMIMPIN, SEMEMANGNYA KITA TIDAK HARUS MEMINTA UNTUK DIPUJI. JIKA DIPUJI SEKALIPUN, BIARLAH BERTEPATAN DENGAN TINDAKAN YANG DILAKUKAN. ‘GIVE CREDIT WHERE IT IS DUE’. TETAPI, JANGANLAH MENCARI KESALAHAN-KESALAHAN YANG TIADA DAN JIKA ADA SEKALIPUN, BERILAH KOMEN-KOMEN YANG MEMBINA DAN POSITIF. BARULAH ADIL.
HADIRIN YANG DIHORMATI SEKALIAN,
19. PEMIMPIN YANG BAIK ADALAH PEMIMPIN YANG SANGGUP MENDENGAR DAN MENERIMA KRITIKAN. KADANGKALA WUJUD GOLONGAN PEMIMPIN YANG ANGKUH DAN SONBONG SEHINGGAKAN TIDAK MAHU MENDENGAR LANGSUNG SEBARANG KOMEN ATAU TEGURAN DARI MEREKA YANG BERADA DI PERINGKAT BAWAHAN. SIFAT SENTIASA MENGAMBIL BERAT DAN BEKERJASAMA PERLULAH SENTIASA DIGALAKKAN DIKALANGAN PEMIMPIN DAN YANG DIPIMPIN.
20. BAGI SAYA, CONTOH TERBAIK KEPIMPINAN IALAH BAGINDA NABI MUHAMMAD SAW. DENGAN PENUH KELEMBUTAN, TOLERANSI DAN BERHIKMAH, BELIAU TELAH MEMBAWA SINAR ISLAM KE SELURUH PELUSUK DUNIA. SESAMA MANUSIA DIAJARNYA UNTUK BERSATU PADU DAN TIDAK BERMUSUH DI ANTARA SATU SAMA LAIN. MALAHAN, GOLONGAN YANG BERMUSUHAN DENGAN BAGINDA JUGA TIDAK DIKASARI TETAPI DILAYAN DENGAN ADIL.
21. PENDEKATAN BAGINDA RASULLULLAH SAW YANG TELAH BERJAYA MENYATUPADUKAN PUAK ANSAR DAN MUHAJIRIN DI ATAS PANJI ISLAM, TERNYATA TELAH MEMBERIKAN KEKUATAN DAN KELEBIHAN DARI PELBAGAI SEGI. ISLAM SEMAKIN DITERIMA, BALA TENTERA ISLAM MENJADI LEBIH KUAT DAN SEMUANYA BERGERAK SEBAGAI SATU PASUKAN.
22. DAN SAYA PERCAYA BAHAWA PENDEKATAN BEKERJA SEBAGAI SATU PASUKAN, TURUT DIAMBIL OLEH PIHAK PENTADBIRAN, GURU-GURU DAN JUGA PIBG DI SMSI (1) INI, KERANA UNTUK MENCAPAI SEGALA KEJAYAAN DAN KECEMERLANGAN YANG DICAPAI SEHINGGA HARI INI, ADALAH HASIL USAHA BERSEPADU GURU-GURU, IBU BAPA DAN ANAK-ANAK YANG MENJADI PELAJAR DI SEKOLAH INI. SYABAS DAN TAHNIAH SAYA UCAPKAN!
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN,
23. PIBG ADALAH JAMBATAN ANTARA PIHAK SEKOLAH DAN IBU BAPA. MELALUI PIBG, IBU BAPA DAPAT BERPERANAN MEMBERI SUMBANGAN IDEA DAN KEPAKARAN DALAM BIDANG MASING-MASING DEMI UNTUK MELIHAT PARA PELAJAR KITA BERJAYA DALAM KEHIDUPAN.
24. PEPATAH LAMA ADA MENGATAKAN, “JIKA JERNIH AIR DI HULU, NESCAYA AKAN JERNIH JUGA LAH AIR DI HILIR”. BEGITU JUGA DENGAN HAKIKAT DALAM KEHIDUPAN. JIKA ELOK DIDIKAN KITA HARI INI, INSYAALLAH AKAN ELOK DAN BERJAYALAH MASA DEPAN ANAK-ANAK KITA.
25. BIARPUN SEBAHAGIAN BESAR MASA SEHARIAN ANAK-ANAK KITA ADALAH DI SEKOLAH, SAMA SEKALI TIDAK BERMAKNA IBU BAPA BOLEH MENYERAHKAN KEPADA GURU-GURU SEPENUHNYA UNTUK MENCORAK MASA DEPAN ANAK-ANAK KITA. SEHARUSNYA IBU BAPA DAN GURU-GURU SENTIASA MENGAMALKAN PERKONGSIAN PINTAR, BERGANDING BERSAMA BAGI MEREALISASIKAN HASRAT KERAJAAN UNTUK MELAHIRKAN ANAK-ANAK KITA SEBAGAI INSAN GLOKAL, MENJELANG MALAYSIA MAJU TAHUN 2020.
26. DI SAMPING BERTANGGUNGJAWAB MENDIDIK PELAJAR, GURU-GURU JUGA MEMAINKAN PERANAN SEBAGAI IBU BAPA DI SEKOLAH. MEREKA MENDIDIK ANAK-ANAK KITA SEOLAH-OLAH MENDIDIK ANAK SENDIRI.
27. PADA MASA YANG SAMA, IBU BAPA JUGA PERLU MEMAINKAN PERANAN SEBAGAI GURU-GURU DI RUMAH, MENYEMAK PELAJARAN ANAK-ANAK, MEMBANTU ANAK-ANAK MENYIAPKAN ‘HOMEWORK’. MUNGKIN ADA ANTARA KITA YANG KURANG BERKEMAMPUAN MEMBERI PELAJARAN SEBAGAIMANA YANG TUNJUK AJAR GURU-GURU DI SEKOLAH TETAPI SEKURANG-KURANGNYA KITA ADA BERSAMA DI SAMPING ANAK-ANAK KITA MENYIAPKAN TUGASAN MEREKA.
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN,
28. PIHAK KERAJAAN BARISAN NASIONAL SENTIASA MEMANDANG SERIUS KEPENTINGAN PENDIDIKAN DAN ILMU PENGETAHUAN. KERAJAAN MENYEDIAKAN PERUNTUKAN SEBAIK MUNGKIN UNTUK KEPENTINGAN PARA PELAJAR KITA.
29. KERAJAAN TIDAK MAHU ADA RAKYAT YANG GAGAL DALAM PELAJARAN DISEBABKAN KESEMPITAN HIDUP, TIADA DUIT UNTUK MENERUSKAN PELAJARAN SEBAGAIMANA PERNAH DIALAMI OLEH ORANG TUA KITA DULU.
30. SELARAS DENGAN KONSEP 1MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN, KERAJAAN BARISAN NASIONAL SENTIASA BERUSAHA MENINGKATKAN KUALITI DALAM BIDANG PENDIDIKAN RAKYAT TERMASUK MENAIKTARAF PRASARANA PENDIDIKAN, MENINGKATKAN GAJI PARA PENDIDIK DAN PELBAGAI INSENTIF KHUSUS KEPADA PELAJAR DAN GURU.
31. HASRATNYA JELAS IAITU UNTUK MELAHIRKAN GENERASI YANG BERJAYA DALAM AKADEMIK, GENERASI YANG BERAMAL DENGAN ILMU DAN GENERASI MAMPU MEMBERI SUMBANGAN KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA.
32. PELAJAR-PELAJAR KITA BERTUAH KERANA BERADA DALAM SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN YANG BERTARAF DUNIA. JIKA DIBANDINGKAN DENGAN NEGARA-NEGARA SERANTAU, TARAF PENDIDIKAN KITA JAUH KE DEPAN. NEGARA KITA MEMPUNYAI SISTEM PENDIDIKAN YANG MUNGKIN BUKAN TERBAIK, NAMUN DIAKUI ANTARA YANG TERBAIK DI DUNIA.
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN,
33. KERAJAAN BARISAN NASIONAL SENTIASA MENGAMBIL BERAT UNTUK MEMAJUKAN KELANTAN CONTOHNYA DALAM BIDANG PENDIDIKAN, KELANTAN TELAH DIANUGERAHKAN DENGAN UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN (UMK) YANG KINI KAMPUS INDUKNYA SEDANG GIAT DALAM PEMBINAAN DI BACHOK. BUKAN KECIL PERBELANJAANNYA, MENELAN RATUSAN JUTA. APABILA SIAP KAMPUS INI NANTI BESERTA DENGAN KAMPUS CAWANGAN DI JELI, BUKAN SAHAJA ANAK-ANAK KITA TIDAK PERLU KELUAR UNTUK MELANJUTKAN PELAJARAN, MALAH KEWUJUDAN UMK AKAN MENJANA PENDAPATAN RAKYAT.
34. BANYAK PELUANG PEKERJAAN AKAN DIJANA, NILAI TANAH-TANAH ORANG KAMPUNG AKAN MENINGKAT DAN AKAN MEWUJUDKAN INDUSTRI SAMPINGAN. INI SEMUA DENGAN SENDIRINYA AKAN MENINGKATKAN TARAF HIDUP RAKYAT.
35. SAYA HARAP KITA SEMUA AKAN MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA AGEN PERUBAHAN, JADIKAN HASRAT MEMBINA KELANTAN BARU YANG LEBIH MAJU SEBAGAI MATLAMAT KITA. MARI KITA PERBETULKAN FOKUS KITA UNTUK MEMBINA MASA DEPAN YANG LEBIH BERMAKNA KEPADA ANAK-ANAK DAN GENERASI MASA DEPAN.
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN,
36. SAYA MENYERU UNTUK KITA RENUNGKAN BERSAMA APA YANG TELAH SAYA KATAKAN TADI. SEMUANYA LAHIR DARIPADA HASRAT IKHLAS UNTUK BERSAMA-SAMA MEMBINA KEHIDUPAN YANG LEBIH BAIK. DASAR-DASAR KERAJAN BARISAN NASIONAL SELAMA INI TELAH TERBUKTI MEMBAWA KEBAIKAN, KESEJAHTERAAN DAN KESTABILAN SEHINGGA KITA SEMUA BOLEH HIDUP AMAN SESAMA MASYARAKAT MELAYU, CINA, INDIA DAN KAUM-KAUM LAIN. INGIN SAYA TEKANKAN DISINI BAHAWA DASAR-DASAR INILAH YANG MEMBEZAKAN KERAJAAN BARISAN NASIONAL DENGAN KERAJAAN-KERAJAAN YANG LAIN. TIDAK SEMUA KERAJAAN SAMA, DAN TIDAK SEMUA ORANG BOLEH MENJADI KERAJAAN YANG BAIK UNTUK RAKYAT.
37. KEPIMPINAN KERAJAAN MEMPUNYAI TANGGUNGJAWAB UNTUK MEMASTIKAN ANAK CUCU KITA, KELUARGA KITA MEMPUNYAI MASA DEPAN YANG LEBIH TERJAMIN. NAMUN, KEJAYAAN KEPIMPINAN TERSEBUT TURUT BERGANTUNG KE ATAS SUMBANGAN SETIAP SEORANG DARI KITA DISINI. SAYA YAKIN, TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SEKALIAN TELAH MEMAINKAN PERANAN DALAM MENYUMBANG KEPADA KEJAYAAN NEGARA SETAKAT INI. DEMI MASA DEPAN, MARILAH KITA SEMUA BERSAMA-SAMA MEMBAWA NEGARA INI KE TAHAP YANG LEBIH TINGGI LAGI AGAR ANAK CUCU KITA BOLEH TERUS KEKAL HIDUP AMAN, SELAMAT DAN TENTERAM.
38. AKHIR KATA, SEGALA YANG BAIK ITU ADALAH DARIPADA ALLAH SWT DAN APA YANG KURANG ITU KERANA KELEMAHAN DIRI SAYA. SAYA MOHON MAAF JIKA ADA TERKASAR KATA, TERSILAP BICARA.
39. DENGAN LAFAZ ‘BISMILLAH HIRRAHMANI RAHIM’, SAYA MERASMIKAN MESYUARAT AGUNG PIBG SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SULTAN IBRAHIM 1, PASIR MAS.
SEKIAN, WASSALAM. |
No comments:
Post a Comment