Tuesday, March 6, 2012

MAJLIS PELANCARAN PENJENAMAAN BARU WAWASANITA MALAYSIA


DERAF TEKS UCAPAN

YB DATO’ MUKHRIZ MAHATHIR
TIMBALAN MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI

MAJLIS PELANCARAN PENJENAMAAN BARU WAWASANITA MALAYSIA

6 MAC 2012 (SELASA)


KOMPLEKS SOGO, KUALA LUMPUR



Assalamualaikum W.B.T dan Salam 1Malaysia.

Yang Berbahagia Hajah Noor Hayati Ab Rahman,
Presiden Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita); dan

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.


1. Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul pada majlis tengahari ini.


2. Sebelum meneruskan bicara, saya terlebih dahulu ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Wawasanita kerana sudi menjemput saya merasmikan majlis ini.

Para hadirin sekalian,

3. Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia atau lebih dikenali sebagai Wawasanita merupakan satu platform efektif kepada para usahawan wanita Bumiputera, terutama kepada Usahawan SOHO yang berniaga secara kecil-kecilan dari rumah untuk terus bersaing dan merebut peluang–peluang perniagaan dalam menghadapi suasana ekonomi yang mencabar di era globalisasi masa kini.

4. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Hajah Noor Hayati, selaku Presiden Wawasanita, di atas komitmen beliau bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan. Saya dimaklumkan antara pendekatan bersepadu bagi program pembangunan usahawan wanita Bumiputera yang sedang dilaksanakan oleh Wawasanita adalah melalui Program Pembangunan Usahawan SMART SOHO (Small Office, Home Office). Program SMART SOHO ini adalah satu inisiatif dan kesungguhan Wawasanita untuk menggalak, memupuk dan membangunkan usahawan SOHO, bertujuan supaya usahawan SOHO mempunyai sikap positif, berilmu dan berkemahiran untuk menjadi sebuah entiti yang besar dan berdaya saing di peringkat domestik dan global.

5. Malah, kesungguhan Wawasanita menerajui Keusahawanan SOHO adalah amat dialu-alukan dan bertepatan pada waktunya. Saya melihat bahawa Keusahawanan SOHO ini dapat membantu ibu-ibu yang ingin meninggalkan pekerjaan harian mereka, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan graduan lepasan universiti untuk memulakan perniagaan dari rumah sambil dapat meluangkan lebih bnayak masa bersama keluarga. Apabila perniagaan itu dapat dibudayakan di dalam kehidupan masyarakat, maka penglibatan pelbagai pihak di dalamnya akan menjadi lebih mudah kerana persekitaran perniagaan yang wujud itu sendiri akan membantu membangkitkan rasa minat dan memecah segala halangan persepsi yang selama ini membelenggu masyarakat orang Melayu. Saya ingin menyarankan agar para usahawan untuk terus berusaha gigih di dalam mempertahankan dan memperkembangkan perniagaan yang sedia ada dan menerokai potensi peluang-peluang perniagaan yang baru.

Para hadirin sekalian,

6. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Wawasanita kerana mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Rakan Strategik daripada pihak swasta. Peranan Rakan Strategik amat penting untuk merialisasikan agenda persatuan. Ini merupakan satu perkembangan yang positif. Dengan penglibatan Rakan Strategik seperti Shamshul Smart Ventures, Sogo (K.L.), Agel Malaysia dan Zazen Health Solutions, dapat mewujudkan lebih ramai Usahawan SOHO dan produk-produk baru serta program yang bersepadu untuk membimbing usahawan-usahawan di bawah naungan Wawasanita. Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak SOGO (K.L) kerana sudi tampil ke hadapan bekerjasama dengan pihak NGO seperti Wawasanita untuk membantu menjayakan aspirasi transformasi ekonomi kerajaan di dalam membangunkan lebih ramai usahawan.

7. Kerajaan akan terus membantu serta membimbing para usahawan atau bakal usahawan untuk terus berdaya saing dan menjadi usahawan glokal menerusi bimbingan, bantuan modal serta khidmat nasihat teknikal. Agensi-agensi kerajaan khususnya di bawah MITI seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Corp, MATRADE, MIDA, MIDF, MPC dan SME Bank sentiasa bersedia dengan fungsi tersendiri mereka di dalam memberi bimbingan, membangun, memantapkan perniagaan, meningkatkan kualiti, memberi bantuan berupa geran persamaan dan pembiayaan, seterusnya bersedia membantu mencari pasaran-pasaran bagi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengusaha tempatan. Agensi-agensi kerajaan yang lain seperti JPW, FAMA, MARDI, SIRIM, MARA, TEKUN dan lain-lain juga adalah di antara agensi-agensi yang boleh menjadikan visi dan cita-cita tuan-tuan dan puan-puan sekalian menjadi realiti.

Para hadirin sekalian,

8. Sektor PKS merupakan antara enjin penggerak ekonomi negara. Sektor ini menyumbangkan kira-kira 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 50 peratus peluang pekerjaan di Malaysia. Dengan adanya usahawan-usahawan yang ramai menerokai pelbagai sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti sektor pertanian, penternakan, pembuatan, pelancongan dan sektor perkhidmatan, maka negara akan lebih dapat bergantung kepada kekuatan ekonomi dalaman. Inilah di antara strategi Kerajaan di dalam menyerap ketidakstabilan dan kelembapan ekonomi di peringkat global.

9. Sehubungan dengan ini, saya ingin mengingatkan bahawa tuan-tuan dan puan-puan sebenarnya berperanan di dalam memastikan ekonomi negara terus berkembang maju. Kerajaan sangat menghargai peranan yang telah dan sedang tuan-tuan dan puan-puan mainkan. Oleh itu, peranan sokong menyokong yang wujud di antara pihak Kerajaan dan swasta sentiasa perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

10. Asal saja ada kemahuan, di situlah membenihnya kejayaan. Berusaha, berazam, berdisiplin dan jujur terhadap perniagaan yang tuan-tuan dan puan-puan sendiri bangunkan, Insya-Allah kejayaan pasti akan datang. Tidak mungkin Kerajaan mampu untuk menyediakan segala-galanya. Tiada mana-mana Kerajaan di dunia ini yang menjalankan ‘dasar lampu aladin’. Tetapi hakikatnya Kerajaan telah, sedang dan akan terus menyediakan segala prasarana samada prasarana fizikal mahupun prasarana kewangan untuk membantu para pengusaha dan usahawan. Jika tuan-tuan dan puan-puan bijak untuk memanafaatkan sepenuhnya peluang dan kemudahan yang disediakan ini, saya yakin tuan-tuan dan puan-puan akan berjaya mencapai sepertimana yang dicitakan.

Para hadirin sekalian,

11. Saya mengharapkan agar Wawasanita akan menjadi peneraju Usahawan SOHO di kalangan usahawan wanita. Agar program pada hari ini dapat membuka minda para usahawan wanita sekalian agar lebih berdaya maju dalam bidang perniagaan masing-masing. Saya juga berharap agar Wawasanita akan dapat terus memainkan peranannya dalam membantu Kerajaan menjayakan matlamat mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumi (MPPB).

12. Akhir kata, saya mengucapkan selamat berjaya kepada semua yang hadir. Dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga Wawasanita di atas inisiatif memperbaharui jenama persatuan. Saya yakin ianya merupakan satu transformasi yang positif untuk memajukan persatuan dan ahli-ahli persatuan yang terdiri daripada usahawan dan bakal usahawan yang turut sama menjayakan misi kerajaan di dalam memacu perkembangan pelbagai sektor perniagaan dan industri negara.

13. Dengan lafaz 'Bismillahirahmanirrahim', saya dengan ini merasmikan Majlis Pelancaran Penjenamaan Baru Wawasanita.

14. Sekian, terima kasih.

No comments: