- Umum mengakui bahawa pemilihan UMNO kali ini akan menentukan tenggelam timbulnya parti kita ini. Ahli-ahli UMNO, orang Melayu, malah Rakyat Malaysia keseluruhannya memberi perhatian yang khusus kepada pemilihan UMNO kerana lazimnya pemenang-pemenang jawatan tertinggi parti akan dilantik jawatan-jawatan tinggi Kerajaan. Presiden UMNO akan memegang jawatan Perdana Menteri, manakala Timbalan Presiden pula Timbalan Perdana Menteri.
- Ini menjadi kenyataan sekiranya Barisan Nasional (BN) masih menguasai majoriti kerusi-kerusi dalam Parlimen, dan UMNO kekal dengan kerusi Parlimen terbanyak dalam BN. Jika BN tidak dapat mempertahankan bilangan kerusinya, maka sudah tentu parti lain yang akan menawarkan ketuanya kepada YDP Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia. Ini adalah realiti yang selalu kita ambil mudah kerana kita berada dalam zon selesa dan beranggapan bahawa Kerajaan BN tidak mungkin tumbang.
- Oleh itu, adalah amat penting bagi UMNO mengetahui dengan terperinci keadaan dan sentimen di peringkat akarumbi. Saya percaya ahli-ahli UMNO di peringkat terbawah pasti menyedari sentimen rakyat, dan dapat berikan maklumbalas yang paling berguna kepada pucuk kepimpinan parti. Dengan matlumat ini, kepimpinan kita sudah sepatutnya dapat membuat keputusan-keputusan yang sesuai dengan sebarang keadaan dan menepati citarasa rakyat.
- Tetapi malangnya kita lihat keputusan-keputusan pemimpin kita tidak bantu menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi mereka. Ini mungkin berlaku kerana sentimen rakyat yang disampaikan oleh ahli-ahli kita di peringkat akarumbi tidak diendahkan dan diketepikan begitu sahaja.
- Rakyat yang telah dihadapkan dengan pelbagai masalah kebelakangan ini kini menuntut pembelaan. Apabila pemimpin sudah tidak dilihat membela rakyat, sudah pasti rakyat menuntut perubahan kepimpinan.
- Dalam UMNO, kita mengamalkan sistem demokrasi untuk memilih kepimpinan di semua peringkat. Proses pemilihan ini menyuburkan parti, sekaligus memberi nafas baru kepada perjuangan yang didokonginya. Proses ini juga menjamin parti sentiasa relevan kepada rakyat, khususnya orang Melayu, kerana pemimpin yang dipilih sudah tentu dapat memahami kehendak golongan yang diwakilinya itu.
- Apabila "perancangan" Peralihan Kuasa 2010 diumumkan oleh YAB Presiden parti, dan disokong ketika itu oleh YAB Timbalan Presiden, ianya memberi impak yang negatif kepada amalan demokrasi parti. Presiden mencadangkan agar ahli-ahli UMNO menyokong rancangannya supaya kedua-dua jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Hatta YAB Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi dan YAB Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak dicadangkan oleh Pak Lah supaya dikekalkan jawatan mereka sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO hingga tahun 2010.
- Sebenarnya, apabila hanya ada satu "perancangan", dan tiada perancangan lain yang boleh dipertimbangkan, maka Perancangan Peralihan Kuasa 2010 itu bertukar daripada hanya sebuah 'perancangan' menjadi satu 'arahan' dari pihak-pihak yang berkepentingan. Ini jelas apabila Pak Lah meluahkan rasa kecewanya apabila YB Tan Sri Muhyiddin Yasin, Naib Presiden UMNO menyatakan bahawa peralihan pada tahun 2010 itu perlu dipertimbangkan semula baru-baru ini.
- Terkini, Pak Lah mengarah kita semua supaya jangan lagi membangkitkan soal peralihan kuasa ini yang kononnya telah dipersetujui oleh MT dan Jemaah Menteri. Nampaknya pandangan ahli-ahli UMNO, ahli-ahli BN dan rakyat keseluruhannya tidak akan dipedulikan oleh pemimpin yang hanya mahu mengekalkan jawatannya sendiri.
- Tidakkah boleh kita menyuarakan persoalan apabila pemimpin yang berkepentingan mengarah pengikutnya terus menyokongnya tanpa melalui proses pemilihan seperti pemimpin-pemimpin dan bakal-bakal pemimpin lain yang bertanding? Kenapa juga kita tidak boleh menyuarakan persoalan apabila tempoh penggal jawatan yang sepatutnya berakhir pada Disember 2008 ini dipanjangkan hingga tahun 2010 sewenang-wenangnya?
- Saya yakin bahawa ramai yang bersetuju dengan saya bahawa amalan-amalan seperti ini menampakkan seolah-olah UMNO ini kepunyaan beberapa individu sahaja dan bukan hampir 3.5 juta ahlinya yang berdaftar. Malah, ahli-ahli UMNO telah menolak pemimpin-pemimpin parti yang tidak mengiktiraf peranan mereka sebagai ahli, lantas menyumbang kepada kekalahan UMNO dan BN di PRU 12 dan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh 26 Ogos yang lepas.
- Untuk menyelamatkan keadaan, saya percaya bahawa kita mesti serahkan semula kuasa memilih pemimpin kepada ahli-ahli di peringkat akarumbi. Saya sendiri telah menulis sepucuk surat kepada semua Ketua-Ketua Cawangan UMNO untuk memohon mereka mencalonkan pemimpin-pemimpin peringkat nasional sewaktu Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan mereka baru-baru ini. Ini telah saya lakukan kerana saya yakin bahawa inilah satu-satunya cara bagi kita untuk menjamin barisan kepimpinan parti yang bakal dipilih kelak benar-benar mendapat mandat dari sebilangan besar ahli UMNO.
- Justeru, saya menyokong kenyataan YAB Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak menyerahkan pemilihan pemimpin tertinggi parti kepada perwakilan di Mesyuarat Perwakilan UMNO di Bahagian-bahagian. Ini adalah sebagai menyahut saranan YB Tan Sri Muhyiddin bahawa peralihan kuasa antara YAB Presiden dan Timbalannya itu perlu disegerakan demi kelangsungan UMNO di dalam pemerintahan Malaysia.
- Pada hemat saya, tidak siapa yang harus pertikaikan pendirian kedua-dua pemimpin ini. Pastinya mereka telah mendapat maklumbalas dari pelbagai pihak, dan sedar bahawa perubahan pucuk kepimpinan mesti dilaksanakan sebelum Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian-bahagian Oktober depan. Olehitu kenyataan-kenyataan yang dilontarkan pula oleh pihak-pihak tertentu (yang jelas berkepentingan juga) membidas kenyataan asal Tan Sri Muhyiddin itu adalah berniat untuk menidakkan hak akarumbi untuk bersuara dan terlibat dalam pemilihan pucuk pimpinan.
- Bagi menghadapi dan menangani ancaman yang dilaungkan oleh Anwar Ibrahim, kita mesti sudah menyusun langkah untuk mempertahankan UMNO dan juga hubungannya dengan parti-parti komponen di dalam BN. Saya percaya kepulangan YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad ke pangkuan UMNO untuk menyumbang nasihat, memberi keyakinan dan kekuatan baru untuk kita bersama mengharungi cabaran getir umat Melayu ini.
- Marilah kita sama-sama menyokong gerakan perubahan ini. Kita mesti berani mengorak langkah untuk mencapai perubahan agar perjuangan rakyat dapat kita jayakan Insya'Allah.
Dengan itu, saya ucapkan selamat berjuang dan Berani Berubah!
Ikhlas,
Mukhriz Mahathir
3 comments:
SALAM BERANI BERUBAH Dato'!
Nampaknya persaingan bertambah sengit sekarang ni ... KP semakin hangat dan menjadi rebutan pelbagai pihak yang MUNGKIN bersungguh-sungguh berkehendakkannya ATAU mungkin hanya sekadar ingin memecah undi? - Allah sahaja yang tahu ....
Saya dan rakan-rakan mendoakan semoga Dato' akan berjaya dalam pemilihan yang akan menjelang ... kami di akar umbi sedaya upaya cuba membantu Dato' dalam apa saja cara sekalipun (halal way) untuk kami mendapat seorang pemimpin Pemuda yang benar-benar sayangkan parti serta berkaliber, iaitu DMM !
Dato' pun nampaknya sekarang semakin ligat berusaha dan amat sibuk untuk memenuhi setiap aturcara yang telah diaturkan ... Kami di setiap Cawangan dan Bahagian di seluruh negara juga sedang berusaha untuk Dato'.
Semoga usaha kita semua ini diberikan Rahmat Allah dan diberkati olehNya. InsyaAllah, janji Allah adalah benar, setiap usaha tidak akan sia-sia, hanya usaha, doa dan tawakkal kepada Allah dapat menjamin kemenangan. Aminnn!...
AloQStaQ
http://AloQStaQBlog.blogspot.com
http://www.MyKMUtara.net
Salam Dato' Mukhriz,
Tahniah di atas kejayaan Dato' mendapat 38 pencalonan bagi pertandingan jawatan Ketua Pemuda UMNO. Walaupun masih awal, saya berdoa agar Dato' akan mendapat kejayaan yang cemerlang dan seterusnya, insya-Allah, dapat bekerja kuat bersama orang-orang kita yang perihatin terhadap memulihkan kembali imej UMNO.
Cadangan Kaedah Pemilihan Parti
Assalaualaikum Dato..
Adalah tidak logik, hanya 0.0008% (2500 orang perwakilan )yang menentukan kedudukan pemimpin UMNO yang dianggotai 3 juta ahli??
Bagi memperkasakan UMNO untuk terus relevan, kaedah pemilihan yang ada perlu diubah, agar hak dan penglibatan keseluruhan ahli UMNO menentukan pucuk pimpinan parti.
Jestru itu saya mencadangkan satu kaedah, pemilihan pucuk pimpinan parti perlu ditentukan oleh keseluruhan ahli parti
Langkah awalan, cawangan-cawangan perlulah mengemaskinikan senarai ahli yang lengkap dan nombor keahlian parti. Bubarkan mana-mana cawangan yang tidak aktif atau tidak cukup ahli. Ketua-Ketua Bahagian hendaklah memestikan proses ini berjalan dengan lancar.
Proses Pemilihan Pemimpin Parti
1. Pengundian dibuat diperingkat
Bahagian
2. Metod atau kaedah sama seperti
proses pilihan raya.
3. Penjumlahan undi akan di buat
pada hari dan lokasi yang sama
(Peingkat Bahagian)
4. MT parti akan menentukan
pemimpin kanan parti memantau
dan bertindak sebagai pemerhati
kepada perjalanan proses
pemilihan peringkat Bahagian.
Beliau juga perlu mengesahkan
keputusan undi tersebut,
sebelum dibawa ke Perhimpunan
Agong UMO, di PWTC.
5. Salinan keputusan perlu disimpan
dalan fail Bahagian untuk
tujuan pengauditan kelak.
6. Perhimpunan Agong UMNO hanya
wajib dihadiri oleh Ketua-Ketua
Bahagian dan Calon-calon yang
bertanding sahaja. Dalam pada
itu ahli-ahli parti boleh
menghadiri perhimpunan tersebut
seperti biasa. Cuma bezanya
proses pengundian tidak ada.
Dalam erti kata lain kos
perbelanjaan adalah tangungan
sendiri
7. Perhimpunan Agong parti, hanya
mengumumkan kemenangan calon
yang terpilih dan perbincangan
hala tuju parti serta lai-lain
perkara.
Faedah kaedah ini
1. Politik wang akan dapat
dikurangkan atau dihapuskan
terus.
2. Penglibatan 100% ahli parti
menentukan pucuk pimpinan
parti, berbanding 0.0008%
kaedah sekarang.
3. Jumlah ahli ke perhimpunan
Agong parti tidak ramai dan
sekaligus menjimatkan
perbelanjaan parti.
4. Imej parti lebih telus dan
bersih.
Keburukan kaedah ini
1. Berlaku keputusan-keputusan
yang tidak terjangka, khususnya
jawatan Presiden dan Timbalan
Presiden yang, pada lazimnya
akan menjadi Perdana Menteri
dan Timbalan Perdana Menteri.
Bagi pemilihan ADUN/DUN yang mewakili parti bagi pilihanraya umum, juga melaui proses yang sama.
Post a Comment