Wednesday, September 24, 2008

Kenapa Kita Mesti Berani Berubah?

1. Kita akui bahawa pada hari ini UMNO ditempangkan akibat pelbagai kepincangan dan krisis kepimpinannya. Kepincangan-kepincangan ini telah menghakis sokongan orang Melayu khususnya, dan rakyat Malaysia amnya terhadap UMNO. Malah, keputusan PRU12 dan PRK Permatang Pauh boleh disimpulkan bahawa orang UMNO sendiri menolak calon-calon kita dengan menzahirkan rasa tidak puas hati mereka dengan tidak keluar mengundi, merosakkan undi, atau lebih teruk lagi, mengundi pihak lawan.
2. Apabila saya mengumumkan penawaran diri saya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya telah menggunakan slogan "Berani Berubah!" untuk menyemarakkan semangat pejuang di dalam diri Pemuda yang mahukan perubahan dalam ertikata yang sebenar. Saya mahu mencetus dan melahirkan sebuah generasi kepimpinan di dalam Pergerakan Pemuda UMNO yang peka dan responsif terhadap keperluan akarumbi. Saya amat berharap dapat melahirkan satu lapisan pemuda yang dinamik serta berdaya maju. Saya akui kenyataan-kenyataan saya sebelum ini adalah antara yang paling lantang apabila berlakunya perkara-perkara yang merugikan parti, atau apabila keputusan-keputusan pucuk kepimpinan tidak menepati citarasa dan aspirasi rakyat. Contohnya apabila Kerajaan membatalkan pembinaan jambatan antara Johor Bharu dan Singapura, juga terhadap ucapan dasar Presiden parti pada tahun 2006 tidak mengandungi intipati baru untuk kita jadikan panduan, serta terhadap keputusan PRU12 yang secara jelas mencerminkan rasa tidak puashati rakyat terhadap YAB Perdana Menteri, saya akan berkata-kata dengan benar demi kelangsungan UMNO dan rakyat Malaysia. Namun, setiap kali saya membuat kenyataan sedemikian, saya dianggap sengaja mencetuskan kontroversi. Ada pihak-pihak tertentu yang akan mendesak agar saya dikenakan tindakan disiplin, atau digantung keahlian, malah ada juga yang menggesa supaya saya dipecat dari parti.
3. Tetapi akhirnya, Alhamdulillah, tiada juga sebarang tindakan yang diambil ke atas saya walaupun saya terus bersuara lantang mengkritik pucuk kepimpinan dan keputusan mereka. Ugutan-ugutan bahawa tindakan akan diambil terhadap saya tidak langsung menakutkan saya daripada mengubah prinsip dan meneruskan pendekatan yang saya ambil selama ini. Kenapa?
4. Pada hemat saya, umum mengetahui bahawa apa yang saya perkatakan dan nyatakan tidak langsung melanggari Perlembagaan, peraturan dan/atau tataetika parti. Malah kita sedar bahawa lebih baik jika ada "check and balance" yang mengimbangi pelbagai kepentingan dalam parti bagi menguatkannya. Jika ada isu-isu semasa yang penting, lebih baik perbahasan berlaku di dalam parti daripada menjadi bahan yang digunakan oleh pembangkang mahupun rakyat untuk menghentam Kerajaan BN. Jika kita ikhlas mengkritik untuk kebaikan, saya percaya pembangkang akan kehilangan modal untuk menarik perhatian dan tidak lagi mampu untuk meraih simpati rakyat.
5. Sesungguhnya kepimpinan parti perlu sentiasa mendapatkan pandangan dari banyak pihak sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat. Malangnya seringkali kita lihat keputusan-keputusan dibuat seolah-olah tanpa mengambil kira pandangan-pandangan yang mampu membantu mereka membuat pertimbangan yang saksama dan matang. Contohnya begitu banyak laporan-laporan telah diserahkan kepada pucuk kepimpinan sebelum PRU 12 mengenai peluang kemenangan BN pada pilihanraya tersebut. Rata-rata laporan-laporan tersebut meramalkan situasi yang genting bagi BN, di mana kemungkinan besar lima negeri akan jatuh ke tangan pembangkang. Salah satu agensi Kerajaan telah melaporkan bahawa BN hanya akan dapat mempertahankan 138 kerusi di Parlimen. Kebetulan dengan keluarnya SAPP dari BN tempohari, laporan-laporan ini nampaknya kini menjadi kenyataan. Soalnya, kenapa laporan-laporan yang dikeluarkan oleh badan-badan yang bertauliah ini tidak diendahkan, dan sebaliknya laporan-laporan lain yang entah dari mana datangnya digunapakai sebagai sandaran? Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Inilah yang kita lihat terpampang di depan mata kita pada hari ini; UMNO tidak lagi dihormati, BN kehilangan kuasa mutlak, rakyat mempersoalkan integriti pemimpin dan pihak pembangkang meneguk di air keruh.
6. Sudah menjadi kelaziman kita berkeyakinan penuh dan tanpa soal menerima bahawa keputusan-keputusan penting yang dibuat oleh kepimpinan kita adalah berdasarkan kepada matlumat yang sahih, dan strategi yang berkesan. Tetapi dengan timbulnya pelbagai isu yang berkait rapat dengan kepincangan keputusan Kerajaan sekarang, rakyat sudah merasa gusar dan keyakinan mereka terhadap Kerajaan semakin terhakis. Bagaimana dapat kita mengatasi masalah ini? Sudah tentu caranya ialah dengan meletak pemimpin yang dipercayai dan berkebolehan di jawatan-jawatan tinggi parti dan Kerajaan. Di sinilah terletaknya peranan kita sebagai ahli UMNO di musim pemilihan ini.
7. Dalam keadaan UMNO dan BN menghadapi situasi politik yang seolah-olah telur dihujung tanduk, pemimpin tidak wajar hanya berusaha mengekalkan jawatan sendiri dengan mencadangkan agar jawatan-jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi. Walaupun perkara ini pernah diamalkan sebelum ini, keadaannya amat berbeza. Dulu pemilihan UMNO seringkali dijalankan sebelum PRU. Bagi memastikan UMNO dan BN kuat bagi menghadapi Pilihanraya Umum, maka jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan. Tetapi selepas PRU 12 keahlian UMNO, orang Melayu dan rakyat Malaysia menuntut perubahan. Jika UMNO dan BN tidak berubah sudah tentu perubahan yang dituntut mereka akan dipenuhi oleh pihak pembangkang. Itulah sebabnya UMNO mesti berani berubah. Sikap tidak peduli dan sambil lewa akan mengundang badai yang jauh lebih teruk dari tsunami politik yang telah melanda kita Mac lepas. Krisis kepimpinan yang UMNO hadapi pada hari ini tidak akan terbaiki dengan sendirinya. Kita sendiri mesti membetulkan di mana yang silap. Jika kita tidak berani untuk merubah, maka tiada perubahan akan berlaku. Kita mesti berani menolak sebarang usaha untuk menidakkan hak kita untuk memilih pemimpin. Kita mesti berani menguasai keadaan jika ada taktik-taktik untuk menyekat suara akarumbi di dalam Mesyuarat-mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dilakukan sesetengah pihak. Kita mesti berani mencalonkan tokoh-tokoh yang berwibawa, yang akan memberi kekuatan kepada parti. Kita mesti berani melawan sebarang usaha untuk mencemarkan proses demokrasi melalui rasuah politik yang menggunakan wang ringgit, ugutan mahupun imbuhan dalam berbagai bentuk. KITA MESTI BERANI BERUBAH!
8. Janganlah kita sekadar batuk ditepi tangga - merungut mengenai keadaan yang tidak menentu tapi tidak lakukan sesuatu untuk memperbaikinya. Sekiranya kita terus takut kepada perubahan, maka percayalah, ahli UMNO yang seramai 3.5 juta akan disingkirkan daripada arus perdana pemerintahan negara apabila rakyat memberi mandat yang lebih besar kepada pembangkang di Pilihanraya Umum ke 13 nanti. Sesungguhnya, Allah SWT telah berfirman bahawa Ia tidak akan mengubah nasib sesuatu masyarakat itu kecuali masyarakat itu berusaha mengubahkannya. Maka pemilihan inilah satu-satunya peluang yang tinggal bagi ahli-ahli UMNO membawa perubahan yang akan menyelamatkan parti. Saya harap Saudara bersama saya dalam perjuangan ini.



BERANI BERUBAH!
Mukhriz Mahathir
24.09.08

6 comments:

AloQStaQ said...

Assalamualaikum Dato' ...

Tarima kasih yang tidak terhingga kepada Dato' dan seluruh kawan-kawan kita yang bersama-sama BERANI BERUBAH untuk kebaikan dan memperbetulkan UMNO ... yang kini kita semua sedia maklum bahawa parti ini berada dalam keadaan yang amat lemah sekali.

Dengan adanya Dato' sebagai penggerak utama kepada sekalian Rakyat Malaysia yang dahagakan UMNO kembali untuk berkuasa seperti dulu (saya sebut Rakyat Malaysia sebab, yang mengharap UMNO kembali kukuh bukan sekadar ahlinya, malahan bukan ahli dan bukan Bangsa Melayu sendiri pun ramai mengharapkan UMNO kembali kukuh seperti dulu) ... Ini kerana sudah sejak berzaman, UMNO adalah tunjang untuk Malaysia ...

Datanglah apa saja parti pun untuk mendabik dada bahawa mereka hebat, Semangat 46, PAS dan Keadilan dan apa saja untuk kononnya menjaga rakyat Malaysia, tetapi akhirnya ternyata UMNO juga adalah tunjang. Tapi kini UMNO lemah, lemah akibat pemimpinnya lemah. Lemah akibat pemimpinnya tidak mampu untuk menjadi pemimpin yang dapat membawa partinya disegani dan dihormati ....

Jadi, konsep BERANI BERUBAH adalah bersesuaian dengan situasi semasa masakini. Ianya adalah konsep yang harus semua orang (bukan sekadar Pemuda shj.) tetapi setiap lapisan masyarakat, ahli UMNO dan sesiapa jua gunakan untuk mengubah keadaan yang lemah ini kembali gagah dan kuat kembali! ...

Dalam sayap Pemuda (walaupun saya bukan orang "besar", sekadar ahli cawangan sahaja), saya akan sedaya upaya menggenggam hasrat murni Dato' untuk meneruskan hasrat membawa UMNO bangkit. Kita akan sama-sama bangunkan dan perkasakan semula UMNO dengan semangat BERANI BERUBAH! ...

InsyaAllah, Allah akan bersama kita. Aminnn .......


Salam Ramadhan hari ke 24 untuk Tun berdua, semoga terus sihat dan diberkati oleh Allah Tuhan Sekalian Alam ...

Saya amat tertarik dengan penulisan Snippet Tun kali ini yang sedap dibaca dan sedap untuk dihuraikan oleh para rakyat jelata yang tidak putus-putus mengunjungi Blog Tun ini setiap hari ...

Memang apa yang Tun sebut tu, kami rakyat jelata sudah melihatnya dan sudah mengandaikan sedemikian, sebelum ini ... Sesiapa lagi yang boleh membantu menangkis kecaman terhadap Kepimpinan yang lemah itu, PASTINYA akan diangkat ke satu taraf yang tinggi dari apa yang sedang orang itu lalui ... Walaupun, orang itu kalah dalam impiannya meneruskan cita-citanya dahulu .... Baik di Kelantan, Perlis dan Terengganu ... Semuanya manjadi Pahlawan yang sanggup bersilat dengan siapa saja demi mempertahankan Pemimpin tertinggi itu ...

Lawak sungguh, dengan tiba-tiba tiada angin yang bertiup, tiada tanda nak hujan, tiada isyarat nak tunjuk mengenai NCER, tapi secara tak semena-mena diberikan jawatan yang diwujudkan kepada seseorang yang banyak membuktikan dia mampu bersilat. Dan berkhidmat tanpa mengira siang dan malam demi pemimpin tertinggi ... Agak canggung jugak bila memikirkan kewujudan jawatan tersebut secara tiba-tiba .... Tapi, bila diselak-selak akhbar dalam sehari/dua/seminggu lepas, barulah faham, kenapa jawatan tersebut tiba-tiba diwujudkan untuk pesilat tersebut! ..... rupa-rupanya, pesilat tersebut telah membuka langkah dan silatnya dalam masa terdekat .... :)

Itulah yang rakyat nampak. Itu juga yang Tun nampak. Kita sama saja, dapat nampak semua yang berlaku sebab kita ada mata. Yang lebih penting, kita bukan sekadar ada mata untuk melihat, tetapi kita ada telinga untuk mendengar, otak untuk berfikir dan hati/iman untuk membuat keputusan.... Rakyat tidak boleh diperbodohkan.


AloQStaQ
http://AloQStaQBlog.blogspot.com
http://www.MyKMUtara.net
EMAIL : AloQStaQ@yahoo.com

Anonymous said...

Assalamualaikum Dato'

Keputusan jawatan ketua pemuda telah sedia kita maklum.Bagi saya dato' adalah pemenang yg sebenarnya kerna kita tahu jika lawan kita berlawan secara anak JANTAN sudah pasti semalam adalah hari untuk kita memulakan perubahan di dalam UMNO.
Saya sebagai insan kecil di dalam UMNO merayu dan memohon kepada dato'agar tidak patah semangat dgn dugaan ini.dato' adalah harapan kami ahli2 akar umbi utk melihat martabat PEMUDA dan UMNO diletakan kembali ketempat yg sepatutnya.saya melihat hari ini bangsa melayu telah diremehkan maruahnya dan ianya dimulakan oleh bangsa kita sendiri!..
Jikalau dato' kasih dan sayangkan bangsa melayu saya memohon dan merayu agar semangat BERANI BERUBAH
tidak sesekali luntur sehingga UMNO dan MELAYU dihormati oleh mana2 bangsa di dunia ini.
Saya dan rakan2 akan berdiri teguh dibelakang dato'.kami akan terus berjuang dan berjuang bukan utk harta,projek atau pangkat tetapi kami mengenangkan nasib anak cucu bangsa melayu satu hari nanti.
BANGSA MELAYU AKAN KUAT BILA BERSATU DAN BERSATU JIKA MEREKA BERANI BERUBAH...
Teruskan perjuangan dato'dan semoga suatu hari nanti perjuangan ini dapat mengembalikan kembali maruah bangsa MELAYU dan UMNO....

wasalam....

panther said...

Assalamualaikum Dato'
saya selaku ahli akarumbi Pemuda UMNO tetap bersama dan meyokong perjuangan Dato`.Biar Dato tewas pemilihan Ketua Pemuda UMNO sebagai ahli akar umbi
saya tetap berbanga dengan Dato tidak dengan perjuangan UMNO.

AzmiMusCat said...

Salam Dato'

BERANI BERUBAH... a nice word & very hard to come by....

Best wishes, given time..insyaALLAH you can do it...

Azmi (Oman)

Anonymous said...

Jambatan mesti diubah,hubungan dengan Singapura pun perlu berubah.
Selama in Malaysia berlaku sebagai Yes Sir.Mengikut kehendak mereka dan akan tewas jika perkara ini berlanjutan.
Secara pelahan mereka sudah menjajah Malaysia,sudah banyak tanah bumi yg digadai.Sedangkan mereka masih mencari alasan cuba mengambil tanah KTM kepunyaaan kita di Singapura,begitu juga tanah Madrasah,tanah Sultan di Singapura.
IDR merupakan penjajahan lebih dari pembangunan.Anak Bumi hanya melihat pembangun ini,tidak memiliki,begitu juga Kerajaan kita tidak cekap memperolihi cukai yg mantap,yg lebih kaya mereka bukan kita.Apa guna pembangunan,anak Bumi hanya melihat tanpa memilki dan punya suara.
Banyak perubahan yg perlu diubah demi kita.Saya sedia membantu,hubungilah saya.
Tun Mahathir Ayahda Awak,Wira Saya

Anonymous said...

saya harap datuk dapat bertahan dan terus berjuang demi kejayaan Umno.Saya rasa dengan adanya seorang pemimpin yang lantang dan berani seperti datuk sudah tentu kekuatan Umno dapat dimantapkan lagi.InsyaAllah..