Friday, March 25, 2011

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM ‘ANTARA DUA GARISAN’

Sunday March 20, 2011
MAJLIS PELANCARAN PROGRAM ‘ANTARA DUA GARISAN’

YB DATO' MUKHRIZ MAHATHIR
TIMBALAN MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM ‘ANTARA DUA GARISAN’

20 MAC 2011 (AHAD)

GRAND BALLROOM, HOTEL DE PALMA, AMPANG


Assalamualaikum w.b.t dan Salam 1Malaysia.

Yang Dihormati Bapak Sakhyan Asmara,
Staf Ahli Bidang Informasi dan Komunikasi dan Olahraga Indonesia;

Yang Berbahagia Azwanddin Hamzah,
Yang Di-Pertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM);

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

1. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua telah memungkinkan saya berada di sini untuk majlis pelancaran Antara Dua Garisan. Malam ini adalah merupakan malam bersejarah bagi kedua buah negara kerana buat julung kalinya Antara Dua Garisan akan dilancarkan di Malaysia dan Indonesia.

2. Justeru, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Saudara Azwanddin Hamzah, selaku Yang Di-Pertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang telah mengaturkan ruang dan kesempatan ini untuk saya melancarkan Program ‘Antara Dua Garisan’.

3. Inisiatif seperti ini juga adalah initiatif yang pertama kali diusahakan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi tujuan untuk mengeratkan lagi jaringan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Indonesia. Saya amat bersetuju usaha menjalin kerjasama seperti ini bukan saja terletak di bahu kerajaan, malahan NGO juga mampu memainkan peranan penting dalam mencantumkan antara dua garisan yang telah terpisah disebabkan sejarah. Tanpa bergantung terus kepada Kerajaan, initiatif ini jelas bukan saja mampu mengorak langkah pertama untuk NGO kedua negara, iaitu Malaysia dan Indonesia berganding bahu mengatasi segala isu yang berbangkit, malahan berupaya membuka ruang usaha sama ekonomi di rantau ini. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan setinggi penghargaan kepada seluruh Pengarah Kebangsaan JMM di atas komitmen yang tinggi dalam merealisasikan Antara Dua Garisan ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

4. Tiada siapa boleh menafikan, di atas faktor sejarah, hubungan antara Indonesia dan Malaysia adalah ibarat abang dan adik. Ikatan persaudaraan ini telah sedia wujud sejak berabad yang lalu. Darah yang mengalir dalam tubuh kita hari ini adalah darah yang berasal dari rumpun yang sama. Ibarat “air dicincang tidak akan putus, carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum jua”. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan asalkan ia diletakkan di alurnya yang patut.

5. Dengan adanya Antara Dua Garisan sebagai tali penghubung, segala persepsi negatif dalam beberapa isu berbangkit antara kedua negara dapat diperjelaskan melalui perundingan dan permuafakatan di atas maksud kepentingan bersama. JMM telah mengambil inisiatif untuk memperjelaskan segala isu yang dibangkitkan serta bertindak pantas mencantas kembali isu-isu sensitif dan negatif yang boleh mengeruhkan hubungan antara ke dua buah negara.

6. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Justeru, di peringkat awal ini, peranan JMM yang memulakan langkah untuk menjayakan Antara Dua Garisan harus di puji dan menjadi contoh terbaik kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) lain di negara ini. Alhamdulillah, setelah perancangan selama lebih kurang setahun, hari ini program ‘Antara Dua Garisan’ telah menjadi realiti.

7. Secara prinsipnya, Kerajaan akan sentiasa memberi sokongan dan dokongan yang diperlukan kepada semua NGO yang berperanan menjadi pengimbang terhadap segala dasar-dasar Kerajaan. Pentingnya peranan NGO kepada kerajaan adalah untuk memperjelaskan pelbagai isu yang banyak telah tersalah dimengerti atau pun tidak mendapat maklumat yang sebenar tentang fakta sesuatu isu. Sebagai negara yang berjiran dan mempunyai banyak asas persamaan dan kepentingan bersama, isu-isu yang dianggap sensitif tidak harus dibiarkan tanpa penyelesaian segera. Dengan adanya program ‘Antara Dua Garisan’ ini, maka segala beban dan pertanggungjawaban kerajaan dalam menangani permasalahan ini akan dapat dipermudahkan dengan bantuan JMM.

8. Persefahaman dan permuafakatan yang terjalin antara ke dua-dua buah negara bukanlah terbina dengan sendiri. Ia terbina melalui dasar saling menghormati kedaulatan negara masing-masing, melalui hubungan perdagangan, persamaan agama dan juga budaya, di samping pertalian sejarah yang telah berlaku sejak kerajaan Majapahit, Palembang dan kerajaan Melayu Melaka lagi.

9. Permuafakatan, kerjasama dan persefahaman inilah yang selama ini telah menjamin kelangsungan hubungan dua hala yang begitu akrab antara dua negara. Namun, segala yang telah terbina sekian lama ini boleh terlerai hanya dalam masa yang singkat jika tidak ada kesabaran dan toleransi yang benar-benar jitu di dalam mempertahankannya. Justeru. merealisasikan perpaduan kedua negara sebenarnya tiada tempoh tamat. Usaha berterusan harus terus dipupuk dan dibaja agar hubungan sedia ada akan terus terjalin, terpelihara dan bersemarak. Nikmat persefahaman ini seharusnya diwariskan dari generasi ke generasi.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

10. Kita harus peka terhadap perkara-perkara yang boleh mendatangkan kerosakan terhadap hubungan dua hala antara negara tetangga. Sejarah telah banyak membuktikan, hubungan yang baik berakhir dengan peperangan akibat dari permainan pihak ke 3 yang tidak mahu melihat hubungan erat ini terus terjalin. Kerap kali pihak ke 3 ini akan membuat pelbagai onar atas maksud dan agenda mereka sendiri. Kita bimbang jika segala daya tenaga, budi luhur dan keikhlasan yang disemai oleh pemerintah antara dua bersaudara ini dicemari oleh pihak ke-3 yang berniat serong dan mempunyai agenda tersembunyi dengan membuat pelbagai tohmahan tidak berasas dan bersikap baling batu sembunyi tangan.

11. Kerajaan Malaysia selama ini sentiasa mengambil sikap berkecuali dan tidak campur tangan terhadap urusan dalaman mana-mana negara jiran. Kita sentiasa menghormati negara jiran tetangga kita, walau siapa pun yang menjadi pemerintah. Kita amat tegas dan konsisten di dalam hal ini. Kita tidak akan membiarkan diri kita dan sesiapa saja kalangan rakyat negara ini diperalatkan oleh mana-mana pihak dari negara lain yang cuba untuk memburuk-burukkan negara atau pemerintah mereka. Dan saya amat yakin pemerintah Indonesia juga mengamalkan prinsip yang sama. Inilah rahsia keharmonian dan keakraban yang selama ini telah terjalin antara Malaysia dan Indonesia.

12. Kita amat berterima kasih kepada pemerintah Indonesia yang mengambil pendirian ini apabila ada di kalangan rakyat atau pemimpin di kalangan pembangkang di negara ini semata-mata datang ke Indonesia untuk memburuk-burukkan negara dan pemerintah Malaysia. Pemimpin jenis ini amat tidak bertanggungjawab apabila bertindak mencemarkan imej negara sendiri dengan harapan negara jiran akan menjauhkan diri dari kita. Mereka sebenarnya ingin melihat agar hubungan dua hala di antara Malaysia dan Indonesia akan terjejas. Pelbagai gambaran atau persepsi negatif telah dilemparkan agar rakyat Indonesia membenci kita. Akhirnya, kita lihat di akhbar-akhbar dan televisyen, ada kalangan rakyat Indonesia yang telah bertindak membakar bendera negara Malaysia. Tetapi hasil dari persefahaman yang telah terjalin antara ke dua-dua pemerintah, usaha pihak tidak patriotik ini untuk menimbulkan syak dan persepsi bercanggah di antara rakyat dan pemerintah di kedua buah negara telah gagal. Kejayaan ini turut dijayakan hasil dari usaha dan initiatif yang proaktif daripada pihak JMM. Saya yakin JMM boleh memainkan peranan lebih berkesan dalam mengatasi semua halangan ini dan mampu meledakkan fenomena baru melalui ‘Antara Dua Garisan’.

Para hadirin sekalian,

13. Hari ini, cabaran zaman sudah semakin kompleks. Kini, maklumat boleh di salur dan diakses melalui internet dengan mudah dan pantas. Sesiapa saja bebas menggunakan medium baru ini sama ada ia digunakan ke arah kebaikan atau pun keburukan. Pihak yang tidak bertanggungjawab akan mengambil peluang ini untuk mengeruhkan keadaan. Tetapi, apa yang kita inginkan media alternatif ini menjadi medium kepada pencapaian kestabilan politik dan juga ekonomi.

14. Sehubungan itu, bagi mencapai matlamat ini, iktisad negara perlu meningkat dalam rantaian nilai ekonomi. Program ‘Antara Dua Garisan’ merupakan usaha murni JMM dan mampu membawa pulangan yang besar dari segi jaringan rantaian nilai antara dua negara. Kita akan merasakan satu fenomena baru yang lebih ‘impress’ setelah program ‘Antara Dua Garisan’ dipancarkan di Malaysia dan Indonesia melalui stesen-stesen televisyen tempatan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

15. Dengan adanya program ‘Antara Dua Garisan’, pihak Kerajaan berharap agar ianya dapat menyampaikan mesej penting yang ingin disebarkan oleh kedua-dua kerajaan. Justeru, program ini boleh memainkan peranan di dalam melestarikan lagi hubungan persaudaraan ini.

16. Di kesempatan ini juga, saya berterima kasih di atas kerjasama yang ditunjukkan oleh negara Indonesia di dalam mencapai agenda bersama. Kehadiran serta komitmen pemimpin Indonesia bakal merubah pentas politik serta ekonomi yang dilihat positif di dalam mencapai kata sepakat. Kerajaan akan sentiasa menyokong program ‘Antara Dua Garisan’ ini dan memberi segala bantuan, sekiranya diperlukan.

17. Kepada delegasi Indonesia, saya juga mengucapkan ‘Selamat Datang’ ke program ‘Antara Dua Garisan’. Realitinya, program ini telah membuka peluang kepada hubungan diplomatik serta menjaringkan semangat ukhuwah yang lebih bermakna antara pemimpin kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan. Inilah impian masa hadapan kita bersama.

18. Dengan kata-kata demikian, saya akhiri ucapan saya pada malam ini dan dengan sukacitanya merasmikan program ‘Antara Dua Garisan’ yang pertama ini.

Sekian, terima kasih. Wabillahi Taufiq Walhidayah Was salamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: