Friday, March 25, 2011

Program ‘Outreach’: MITI bersama Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia (Peringkat Negeri Kedah)

Sunday March 20, 2011
Program ‘Outreach’: MITI bersama Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia (Peringkat Negeri Kedah)

YB Dato' Mukhriz Mahathir
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Program ‘Outreach’:
MITI bersama Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia
(Peringkat Negeri Kedah)


20 Mac, 2011

UiTM Merbok, Kedah


Assalamualaikum W.B.T, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Yang Berbahagia Prof. Dr. Zaliha Haji Hussin,
Pengarah Kampus Universiti Teknologi MARA, Merbok;

Yang Berbahagia Dato’ Nik Zainiah Nik Abdul Rahman,
Penasihat MITI;

Dato’-Dato’, Ahli-ahli akademik yang mewakili universiti masing-masing,

Para pelajar dan hadirin yang dihormati sekalian.

1. Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat berhimpun pada majlis yang penuh bermakna pada hari ini.

2. Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan terima kasih kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Merbok kerana telah sudi menjemput saya ke majlis ini. Saya amat berbesar hati atas penghormatan yang diberikan kepada saya untuk menjayakan majlis ini.

3. Program “Outreach” MITI bersama IPT di UiTM, Merbok ini adalah merupakan program yang ke empat (4) diadakan selepas beberapa siri program yang sama dijalankan di Matrade, Kuala Lumpur, MITI Putrajaya dan MITI, Kelantan. Seramai 1,500 siswa/i dari IPTA dan IPTS telah menyertai program ini.

4. Tujuan utama program ini adalah untuk merapatkan hubungan di antara MITI dan agensi-agensi di bawah MITI dengan golongan siswa/i di tahun akhir dari IPTA/IPTS seluruh Malaysia. Ianya sedikit sebanyak dapat memberikan maklumat mengenai peranan dan fungsi MITI serta agensi-agensi di bawah seliaannya. Disamping itu, program ini juga cuba mendekatkan golongan siswa/i dengan konsep keushawanan melalui perkongsian pengetahuan dan pengalaman oleh penceramah jemputan dari MITI serta usahawan EKS yang telah berjaya.

5. Bagi pihak Kerajaan, khususnya MITI, saya amat mengalu-alukan inisiatif dan kerjasama seperti ini. Saya percaya, ia merupakan sumbangan yang amat bermakna kepada golongan siswa/i dari segi pendedahan mengenai keusahawanan dan peluang perniagaan yang berdaya maju.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

6. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui agensi-agensinya seperti SME Corp., SME Bank, MPC, MIDA, Matrade, MIDF dan HDC telah banyak memperkenalkan pelbagai program yang berkait rapat dengan keusahawanan.

7. Antara program yang dimaksudkan adalah Student Mall merupakan salah satu program di bawah Program Keusahawanan Siswa (PKS) yang telah dilaksanakan sejak tahun 1989 yang bertujuan untuk membudayakan semangat keusahawanan di kalangan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan. Sehingga kini, seramai 127,285 siswa telah mengikuti pelbagai program anjuran MITI dari tahun 2006 hingga 2009 yang melibatkan 20 buah IPTA.

8. Program Student Mall ini adalah projek fizikal yang membabitkan pembinaan kedai (mall), untuk ruang niaga bagi memberi peluang kepada mahasiswa yang telah mengikuti program-program pembudayaan keusahawanan siswa anjuran MITI untuk menjalankan perniagaan sendiri di dalam kampus.Student Mall ini disyorkan dibina di tempat yang strategik dan menjadi tumpuan pelajar. Di setiap Student Mall terdapat sekurang-kurangnya 10 lot kedai, dan tempoh pembinaan tapak projek bagi pembinaan Student Mall tidak melebihi setahun.

9. Selain itu, program lain yang berkaitan dengan keusahawanan siswa adalah Program Kursus Asas Keusahawanan Siswa (KAKS) yang telah mula dilaksanakan sejak tahun 2002, dan disasarkan kepada mahasiswa yang berada di tahun akhir pengajian. KAKS akan melayakkan pesertanya memohon pinjaman daripada Tabung Usahawan Siswazah (TUS) yang dikendalikan oleh SME Bank setelah mereka menamatkan pengajian di kampus. Di bawah dana TUS, siswazah boleh membuat pinjaman di antara RM20,000 sehingga RM250,000 mengikut syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh MITI dan SME Bank.

10. MITI juga akan sentiasa menambah baik modul kursus bagi meningkatkan kualiti serta keberkesanan program ke arah mewujudkan usahawan siswazah yang lebih ramai, dan fokus MITI sekarang ini adalah kepada siswa dari seawal pengajian di kampus. Program ini juga akan dibuka kepada pelajar Politeknik yang mempunyai kemahiran teknikal bagi menambah bilangan usahawan khususnya dalam sektor perkhidmatan.

Hadirin sekalian,

11. Program Student In Free Enterprise (SIFE) juga merupakan salah satu cabang Program Keusahawanan Siswa (PKS), di mana mahasiswa dilatih untuk merancang dan mengendalikan aktiviti yang memiliki elemen keusahawanan sosial bagi membantu membangunkan ekonomi masyarakat setempat. Mereka menguruskan program dari mula hingga akhir secara berkumpulan dalam satu jangka masa yang tertentu.

12. Program SIFE ini dapat memberikan peluang kepada semua siswa untuk berurusan dengan sektor korporat dalam menjayakan program bersama, dan sekali gus mendedahkan mereka kepada jalinan rangkaian perniagaan (business chain). Program ini juga membolehkan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyertai pertandingan keusahawanan tahunan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Namun begitu, penyertaan IPTA adalah masih kurang dan perlu dipertingkatkan lagi.

13. Untuk makluman hadirin sekalian, Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Kejohanan SIFE Antarabangsa atau SIFE World Cup bagi tahun 2011. Kejohanan berprestij ini dijangka akan dihadiri oleh lebih 1,500 siswa yang mewakili pasukan SIFE dari lebih 40 buah negara yang mengambil bahagian. Turut hadir di kejohanan tersebut adalah para akademik dan tokoh-tokoh korporat dari syarikat ternama tempatan dan global Fortune 500 sebagai para hakim. Sebelum ini, kejohanan SIFE telah pun diadakan di bandar- bandar ternama seperti London, Amsterdam, Barcelona, Paris, New York dan Berlin.

14. MITI telah menyediakan peruntukkan bagi 20 IPTA sebagai bantuan melaksanakan projek-projek SIFE serta sebagai persiapan Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan tersebut pada tahun ini. Para siswa adalah diharapkan agar dapat menggunakan peluang ini untuk membuat jaringan dan mengadakan perbincangan serta bertukar idea dengan pelajar-pelajar antarabangsa sepanjang berlangsungnya kejohanan tersebut dari 3 hingga 5 Oktober 2011. Kejohanan ini juga memberi ruang untuk para siswa berinteraksi dengan para akademik dan tokoh-tokoh korporat.

15. Pada masa kini, pasukan dari universiti yang mempunyai pasukan SIFE sedang mempersiapkan pasukan masing-masing bagi pertandingan SIFE Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung pada 24 - 26 Julai 2011 di PWTC dan berharap agar pasukan yang berkualiti akan dapat mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 3 - 5 Oktober tahun ini.

Hadirin sekalian,

16. Program khas yang disediakan untuk para siswazah adalah Skim Usahawan Siswazah (SUS). Antara modul-modul yang disampaikan semasa program ini ialah Simulasi Motivasi Keusahawanan, Kreativiti dan Kaedah Kenal pasti Peluang, Prosedur Pendaftaran Perniagaan, Pemasaran, Kewangan, Jati Diri Keusahawanan dan penyediaan Rancangan Perniagaan. Peserta akan mendapat kemudahan untuk membuat pinjaman di bawah Tabung Usahawan Siswazah (TUS) yang dikendalikan oleh SME Bank sama seperti peserta KAKS.

Tuan-tuan dan puan-puan,

17. Saya percaya para siswa yang menyertai program-program keusahawanan ini akan bersedia untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

18. Peluang untuk memajukan diri khususnya dalam bidang keusahawanan telah banyak diwujudkan oleh Kerajaan. Oleh yang demikian, peranan pelajar dan graduan adalah untuk merebut peluang-peluang ini bagi meningkatkan keupayaan diri, berkecimpung dalam dunia perniagaan seterusnya menjadi usahawan glokal yang berdaya tahan dan berdaya maju.

19. Kepada golongan siswa, nasihat saya ialah, jadikanlah keusahawanan sebagai pilihan utama kerjaya anda. Negara kita amat memerlukan modal insan yang intelektual dan mempunyai daya inovasi yang tinggi untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan pula akan berusaha mewujudkan peluang dan insentif sebanyak yang mungkin bagi membantu merealisasikan impian tersebut.

20. Saya dimaklumkan seramai 350 peserta yang majoritinya terdiri dari para pelajar universiti di sebelah utara termasuk pensyarah dan ahli akademik terlibat dalam program pada hari ini. Syabas dan tahniah kepada semua yang hadir juga terima kasih kepada para pembentang kertas kerja juga para usahawan yang sanggup berkongsi pengalaman mereka. Moga pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi oleh siswa/i pada hari ini boleh dijadikan bekalan dan persiapan dalam memulakan perniagaan nanti.

21. Sebagai pengakhir kata, saya berharap agar program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan mencapai objektif yang disasarkan iaitu melahirkan lebih ramai siswa menceburi bidang perniagaan/ keusahawanan sebagai bidang kerjaya utama selepas keluar daripada universiti nanti.

22. Sekian, terima kasih dan selamat maju jaya.

No comments: