|    Saya Mukhriz Mahathir dari UMNO Kubang Pasu mewakili UMNO Kedah  Darulaman, negeri jelapang padi, negeri kelahiran dua Presiden parti dan  Perdana Menteri, dengan rasa penuh bangga berdiri disini untuk membahas  usul Ucapan Dasar Presiden UMNO. Terima kasih atas penghormatan ini.
  2) Gagah berani pendekar perang, Menyusun langkah menyinting baju Wujud UMNO untuk berjuang, Demi maruah keramat Melayu
  3)  Alhamdulillah berkumpulnya kita hari ini adalah untuk memperakui  hakikat dan mensyukuri nikmat kejayaan yang telah dicapai hasil dari  ikrar, keazaman dan prinsip kepimpinan yang datang silih berganti  berdasarkan kepada :
  Kepercayaan kepada Tuhan Kesetiaan kepada Raja dan Negara Keluhuran Perlembagaan Kedaulatan Undang-undang Kesopanan dan Kesusilaan
  4)  Begitu bijaksana sekali pemimpin-pemimpin terdahulu. Bukan saja mampu  melakar sejarah, mengembalikan maruah dan kegemilangan lampau, malah  yang paling penting ialah keupayaan mereka mencipta falsafah negara di  dalam persekitaran yang begitu kompleks dan unik.
  5) Kalau dulu  maruah dan martabat kita disepak terajang oleh penjajah, hak untuk  menentukan masa depan kita sendiri dinafikan lebih 400 tahun lamanya,  kini kita mampu berdiri sendiri dengan penuh yakin tanpa bergantung  kepada orang lain.
  6) Kalau dulu kita terpegun dengan  mercu-mercu tanda kebanggaan negara asing hingga timbul perasaan rendah  diri di kalangan kita, kini kita juga dirikan Putrajaya dan Menara KLCC  sebagai lambang keyakinan dan semangat bangsa kita yang tidak boleh  dipatahkan.
  7) Kalau dulu kita bergantung kepada belas ihsan  kuasa asing yang datang merompak hasil bumi kita, kini Malaysia tersohor  sebagai negara yang mampu menguasai pasaran global sehingga menjadi  negara pedagang yang ke-24 terbesar di dunia.
  8) Terbukti, negara  kita ini adalah satu anugerah Tuhan yang teristimewa. Dengan kebolehan  rakyatnya, dipandu dengan halatuju yang betul dan benar, tiada cita-cita  yang mustahil untuk kita capai.
  PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI
  9)  Kesemuanya ini adalah kebenaran. Namun hakikat yang harus kita semua  akui ialah.. perjuangan kita masih belum selesai. Terlalu banyak kerja  yang masih perlu kita lakukan.
  10) Kita perlu bekerja keras untuk  memenuhi harapan Kak Fuziah, ibu tunggal dari Kodiang yang sakit  kencing manis dan darah tinggi – gaji anaknya Azzim tak cukup untuk  bayar kos ubat, belanja Akmal di UiTM dan Azli yang masih dibangku  sekolah.
  11) Kita perlu bekerja keras memenuhi harapan Firdaus  yang ingin berkahwin gadis pujaannya Farah yang dikenali sejak di  sekolah lagi serta mampu membeli rumahnya sendiri walaupun berhutang  PTPTN dan kad kredit yang mendorongnya untuk meminjam dari Ahlong.
  12)  Kita perlu bekerja keras untuk mewujudkan perniagaan untuk Azwan supaya  dia dapat bantu ayahnya Abg Mi seorang nelayan di Kuala Sanglang yang  anak seorang lagi Azri adalah OKU.
  13) Jelas sekali, para  perwakilan yang saya hormati, terlalu banyak kerja yang perlu kita  lakukan untuk memenuhi segala harapan rakyat Malaysia yang masih  memerlukan bantuan dan sokongan.
  14) Walaupun berharap, mereka  yang mengadu nasib kepada kami tidak meletakkan tanggungjawab untuk  menentukan masa depan mereka sepenuhnya diatas bahu Kerajaan  semata-mata. Mereka tahu mereka juga perlu bekerja keras untuk menempah  kehidupan yang lebih selesa, dan mereka tidak pernah mengabaikan  tanggungjawab ini.
  15) Mereka tahu itu semua. Tetapi harapan  mereka adalah agar pemimpin seperti kita tidak terlepas pandang akan  nasib mereka. Tidak lalai, tidak biarkan mereka tercicir dari arus  pendidikan dan pembangunan perdana. Tidak bersengketa sesama sendiri  hingga abaikan tugas dan tanggungjawab kita. Itu sahaja harapan mereka,  dan sudah menjadi amanah kita untuk tidak menghampakan mereka.
  16)  Kini melalui program transformasi cetusan idea Dato Seri Najib, Firdaus  mampu membeli rumah pertama dengan adanya PR1MA. TEKUN membantu Azwan  memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
  17) Kak Fuziah sedang  belajar menjahit baju kurung di bawah Skim Latihan 1Malaysia supaya  boleh berniaga nanti. Bantuan subsidi diesel dan wang sara hidup nelayan  juga dinikmati oleh Abg Mi yang boleh membeli gula dan beras dengan  harga yang berpatutan di Kedai Rakyat 1Malaysia di Padang Sera. Ini  semua pendekatan Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah rakyat.  Jelas Presiden kita mewarisi ketokohan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam  berkhidmat dengan ikhlas dan jujur semata-mata demi rakyat.
  CAMPURTANGAN ASING
  18)  Namun begitu, pihak pembangkang yang mengamalkan budaya politik  pemusnah menidakkan mentah-mentah segala kejayaan kita dan memperlekeh  setiap inisiatif kita.
  19) Kata mereka Kerajaan kita ini korup,  mengamalkan nepotisme, kronisme, tidak cekap, tidak relevan, tidak cukup  liberal, tidak cukup Islam, terlalu berhaluan kiri, terlalu berhaluan  kanan, tidak tegas, mengongkong kebebasan dan hak asasi manusia, dan  banyak lagi. Seolah-olah Kerajaan pilihan rakyat yang telah 12 kali  memenangi pilihanraya ini mahu disamakan dengan kerajaan diktator yang  menzalimi rakyat di negara-negara Arab.
  20) Pelbagai label jelek  digunakan untuk menimbulkan rasa marah serta benci rakyat terhadap UMNO  dan pemimpin kita. Mahafiraun, Mahazalim, Hitler, perompak harta rakyat  tak lekang di bibir mereka, menghina para pemimpin kita.
  21) Hak  asasi manusia, kebebasan bersuara, pilihanraya yang bebas dan adil,  kesamarataan, anti-rasuah, dan sebagainya menjadi kempen hakcipta  terpelihara, seolah-olah hanya mereka yang layak gunakan walhal tindakan  mereka adalah sebaliknya.
  22) Anwar Ibrahim sendiri telah  mencetuskan bibit-bibit revolusi ala Arab Spring yang dia namakan  Malaysia Spring. Betapa terdesaknya Anwar setelah gagal menggunakan  kaedah tidak demokratik pada 16 September 2008 untuk menjatuhkan  Kerajaan yang dipilih rakyat.
  23) Demonstrasi jalanan digunakan  untuk mencabar mandat Kerajaan, dan apabila Kerajaan terpaksa bertindak -  maka dengan sokongan terancang media Barat, dunia disajikan imej-imej  yang memburukan nama baik Malaysia. Dalam situasi sebegini tegang,  ditambah pula dengan teknologi telekomunikasi yang serba pantas, satu  tweet atau FB saja, mampu mencetuskan huru hara ala Kota London.
  24)  Memang Anwar akan kata, "kami hanya mahu hak untuk berhimpun secara  aman". Tapi hakikatnya satu konspirasi terancang telah digerakan seperti  lakonan kematian sewaktu perhimpunan Bersih 2.0 yang boleh dijadikan  pencetus atau tipping point yang bakal mengakibatkan keganasan merebak  keseluruh negara. Dalam situasi sebegini, ibarat telur dihujung tanduk,  bila-bila pun pertumpahan darah boleh berlaku.
  25) Adakah ini  yang kita mahu? Adakah adegan-adegan ganas yang kita lihat berlaku  dinegara-negara Arab hendak kita saksikan disini?
  Kata Anwar dan  kuncu-kuncunya, demonstrasi jalanan adalah perkara biasa  dinegara-negara maju, dan seharusnya dicontohi oleh Malaysia. Menurut  mereka, inilah demokrasi yang sebenar.
  26) Ya, kita juga pengamal  demokrasi. Bezanya kita amalkan demokrasi mengikut terjemahan kita  sendiri. Ya, kita juga mahu jadi negara maju. Tetapi tentulah negara  maju yang mengikut definisi dan acuan kita sendiri. Jika ada  amalan-amalan terpuji dinegara-negara maju, sudah tentu kita akan  mencontohinya. Tapi jika ada amalan-amalan yang tidak sesuai dengan  budaya ketimuran kita, sudah tentu kita tolak.
  27) Penting bagi  kita untuk mempertahankan hak kita untuk memilih apa yang sesuai bagi  negara dan rakyat, dan tidak meniru secara membabi buta setiap yang  dilakukan oleh negara-negara Barat atas alasan ianya sesuatu yang lazim  bagi mereka.
  28) Tidakah negara-negara maju yang pembangkang  agung-agungkan itu juga - yang melanggar hak asasi manusia bila mencetus  peperangan di rantau Teluk atas alasan yang kini terbukti penipuan?  Tidakah negara-negara maju yang mereka sanjungi itu juga - yang membunuh  dengan kejam rakyat biasa yang tidak bersalah dinegara-negara yang  mereka jajah - atas alasan menjatuhkan diktator dan mempromosi demokrasi  kononnya!
  29) Tidakah negara-negara Barat ini juga yang kini  mencetuskan krisis kewangan yang paling teruk dalam sejarah dunia?  Tidakah negara-negara ini juga yang menidakkan hak bersuara sesiapa yang  menentang kehendak mereka?
  30) Namun, ada juga  pengkhianat-pengkhianat dinegara kita ini yang sanggup bersubahat dengan  kuasa-kuasa asing untuk memperkosa negara. Malangnya apabila kita  mendedahkan kegiatan-kegiatan subversif ini, kita pula yang dituduh  mempromosi teori konspirasi.
  31) Sebenarnya, sidang perwakilan  yang saya sanjungi, sedar ataupun tidak, pembangkang adalah alat  penjajahan era baru kuasa-kuasa asing. Mereka ditaja dengan dana yang  besar dan pelbagai bantuan yang lain untuk menjayakan apa yang  diistilahkan sebagai perubahan rejim atau regime change. Soalnya adakah  kita akan membenarkan penjajahan era baru ini berlaku?
  32)  Menjadi tanggungjawab kitalah untuk menerangkan fakta sebenar kepada  rakyat supaya rakyat faham dan tidak terpedaya dengan tipu helah  pembangkang. Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan mampu menggalas amanah  ini.
  33) Jika benar Tuan-tuan bersedia bersama Dato Seri Najib ingin mengembalikan kekuatan UMNO, jika benar Tuan-tuan sanggup berkorban apa saja untuk UMNO. Dan jika benar Tuan-tuan yakin kita perlu menang dengan majoriti yang besar di PRU kelak,  demi  masa depan anak cucu kita, inilah masanya kita bersatu hati dan  bertekad untuk memenangkan parti keramat kita ini. Patah sayap  bertongkat paruh. Perjuangan ini akan tetap kita teruskan!
  KEGAGALAN PAS KEDAH
  34)  Dalam tiga tahun setengah sejak PAS mengambilalih Kedah, tidak ada  langsung usaha mereka untuk merancakan ekonomi di negeri tersebut.
  35)  Dalam konteks agama pula, walaupun PAS kononnya memperjuangkan Islam,  tidak ada satu masjid atau surau pun yang mereka bina sejak PRU12. Dah  lah tak bina masjid, madrasah yang berusia seratus tahun pun nak diroboh  untuk dirikan pusat beli belah! Malah pemimpin tertinggi PAS negeri  sendiri yang tersenyum riang menggerakkan jentolak untuk acara pecah  tanah! Hakikatnya wakil rakyat UMNO lah yang membina masjid dan surau  diseluruh negeri Kedah.
  36) Masjid tidak mereka bina, tapi rumah  urut pula yang semakin bertambah! Kejap suruh tutup dibulan puasa,  tiba-tiba atas tekanan DAP buka balik. Kononnya orang Islam tidak  dibenarkan masuk rumah-rumah urut ini dibulan puasa. Apa maksud ini  semua? Adakah selain bulan Ramadhan, Kerajaan PAS benarkan orang Islam  melanggani pusat-pusat maksiat ini?
  37) Bila kita tanya, depa  kata "rumah-rumah urut ini untuk memenuhi permintaan masyarakat bukan  Islam"! Ini satu penghinaan besar kepada rakan-rakan kita yang bukan  Islam. Adakah pemimpin PAS Kedah bermaksud orang bukan Islam di Malaysia  ini suka pi pusat-pusat maksiat?
  38) Begitulah sikap pemimpin  PAS di Kedah. Ikut loghat Kedah, PAS ni kemereh betoi. Kemereh ni lebih  teruk dari koman, buat semua tak jadi, pendek akai.  Balak sebesar betis  pun depa tebang untuk cari duit. Nak bela ikan keli pun tak reti - apa  lagi nak tadbir sebuah negeri?
  39) Kata pemimpin depa 80.7% dari  janji PRU12 telahpun ditunai. Bukan 80% tuan-tuan, tapi 80.7%! Yang 0.7%  ni mai mana pun saya tak tau. Rakyat pun tak tahu janji mana yang PAS  dah tunai! Ini satu penghinaan kepada rakyat Kedah, seolah-olah pemimpin  PAS menganggap orang Kedah ni bodoh, begitu mudah nak ditipu oleh  pemimpin PAS. Kemereh sungguh pemimpin PAS Kedah ni.
  40) PAS  berharap rakyat Kedah ni pelupa. Selama tiga tahun setengah PAS tak buat  apa-apa, tapi bila dah dekat pilihanraya barulah macam-macam habuan  depa hulur dengan harapan kerja sikit yang PAS buat itu lah yang rakyat  ingat, kerja baik UMNO buat selama ini akan rakyat lupa. Bagi depa,  kalau orang Kedah ni macam Melayu yang mudah lupa, cerahlah peluang  untuk depa menang.
  41) Soalnya betui ka rakyat Kedah lagu tu?  Betui ka orang Kedah ni tak pandai bersyukur dan tak kenang budi?  Pemimpin PAS ini begitu kemereh dan menghina rakyat sebenarnya. Kami  percaya rakyat Kedah bijak dalam membuat pilihan nanti kerana kami  Rakyat Kedah dah cemuih mendengar alasan kenapa sampah tak boleh dikutip  sekitar Kedah. Kami dah cemuih mendengar alasan bahawa Kerajaan PAS tak  mampu membangun negeri, kami dah cemuih mendengar alasan bahawa  jalan-jalan kampung tak dibaiki walaupun peruntukan dah Kerajaan Pusat  bagi, kami dah cemuih mendengar alasan bahawa segala masalah di Kedah -  semua salah kita!
  42) Sambil depa bagi alasan demi alasan,  penjaja berdepan dengan trakter yang nak robohkan gerai di Taman Ria  Jaya, Sg Petani. Peniaga runcit Cina gulung tikar di Alor Setar, rumah  kampung di Sungai Setar, Sik alami hakisan tanah kerana pokok-pokok  sebesar peha pun ditebang, Madrasah Salahiah di Kancut yang berusia  lebih 100 tahun pun nak dirobohkan untuk beri laluan kepada pusat beli  belah.
  43) Serik dengan keadaan ini, saya percaya rakyat Kedah  bersedia mengembalikan kuasa kepada UMNO sekiranya kita letakan calon  yang boleh menang.
  Ikrar diberi tanda sokongan UMNO Kedah menyahut seruan Biarpun siapa menjadi pilihan Kemenangan parti sentiasa didahulukan
  Cuma  pra syaratnya ialah - kita perlu bersatu. Untuk tunjukkan kepada rakyat  bahawa pemimpin bahagian tak lawan das sesama sendiri, kita mesti  bersatu. Untuk buktikan kepada rakyat bahawa kita serious menjamin  masadepan anak cucu mereka, kita harus bersatu. Untuk meyakinkan rakyat  bahawa kita pilihan terbaik di PRU kelak, kita wajib bersatu. Bersatu  kita bersatu dengan setia berganding bahu - itupun ikrar kita  dipermulaan lagu UMNO!
  44) Apabila kita bersatu, usaha kita yang  sekecil mana sekalipun akan bercantum dengan usaha rakan-rakan lain  lantas menggerakan arus, maka arus menjadi ombak, ombak menjadi  gelombang, dan gelombang yang besar hasil perpaduan antara kita akan  mampu meruntuhkan tembok kebencian yang pembangkang dirikan, retak dan  pecahlah dinding pemisah antara keikhlasan kita dan harapan rakyat,  leburlah segala fitnah yang pembangkang sajikan, berkecailah perisai  atas nama agama yang pembangkang salahgunakan untuk memperdaya rakyat.
  45)  Gelombang yang kami namakan Gelombang merah ini sedang bergerak di  seluruh Kedah. Jika Tuan-tuan dan Puan-puan turut memainkan peranan  menggerakan gelombang merah ini, tiada masalah yang tak boleh kita  rongkai, tiada impian yang tak boleh kita capai. Kedah akan kita rampas  semula, Putrajaya akan tetap kita pertahankan! Itulah bai'ah UMNO Kedah!
  Sekian. Kedah mohon menyokong!  | 
No comments:
Post a Comment